Malaysia Dateline

Tak perlu ke luar negara mencari ‘alam kayangan’, negeri ini paling banyak tempat cantik yang rakyat Malaysia sendiri ramai tak sangka

Sesuai dengan namanya Perlis Indera Kayangan ialah negeri yang menjanjikan seribu satu pemandangan indah dengan banyak tempat cantik.

Bagaikan landskap lukisan, ramai daripada kita mungkin terlepas pandang keindahan di negeri terkecil dan paling utara di Malaysia ini.

Sesudah Subuh, anda boleh bergerak ke Pusat Tinjau Wang Kelian atau Wang Kelian View Point yang terletak 20 minit dari dari pekan Padang Besar atau 30 minit dari Kangar.

Tidak keterlaluan dikatakan di ketinggian 303 meter dari aras laut ini adalah lokasi terbaik untuk menikmati matahari terbit paling indah di tanah air kita!

Kawasan pekan Kaki Bukit ini memang dah hujung sempadan Malaysia. Seberangnya, Satun, Thailand. Kalau bernasib baik, anda akan disajikan panorama ‘awan karpet’ saujana mata memandang.

Namun, diingatkan anda perlu bersabar untuk bergambar di puncak Wang Kelian. Malah, sebelum itu lagi, anda perlu mendaki kira-kira 10 minit dari kawasan parkir. Dinasihatkan juga tiba seawal yang mungkin, paling lambat pun jam 6.50 pagi di parkir.

Dari Pusat Tinjau Wang Kelian, boleh gerak ke Gua Kelam yang hanya 10 minit saja jaraknya jika berkereta.

Gua batu kapur yang tidak melampau boleh dianggap tercantik di Malaysia ini mempunyai terowong yang panjangnya 370 meter.

Sebenarnya, Gua Kelam antara gua batu kapur Formasi Sentul di Banjaran Nakawan, iaitu terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Wang Mu, bersebelahan Taman Negeri Perlis.

Di dalam Gua Kelam ini, kita akan berpeluang melihat bekas landasan troli bijih timah serta laluan yang disusun menggunakan batu-batuan oleh pelombong bijih timah zaman dahulu.

Selepas berjalan meneroka gua batu kapur itu, anda seolah-olah masuk ke dimensi dunia yang serba indah bagaikan taman firdausi.

Itulah Taman Rahsia Perlis atau Secret Garden of Perlis yang letaknya di hujung Taman Rekreasi Gua Kelam.

Perlis juga menjanjikan tempat makanan yang sedap-sedap. Untuk sarapan sambil menikmati pemandangan indah, boleh cuba singgah di Warung Tepi Sawah.

Sekali lagi disebabkan tempat makan di Jalan Wang Ulu, Kangar ini memang popular terutama hujung minggu, maka untuk menunggu meja kosong saja boleh mengambil masa setengah jam.

Tapi tak rugi menanti pun, sebab pelbagai menu ada dari roti bakar, mi rebus, nasi lemak, ubi kayu hingga ke makanan-makanan tempatan seperti lempeng kelapa.

Namun, ada maklum balas yang diberi mendakwa harga makanan agak mahal tetapi air teh buih aisnya memang diakui sedap selain boleh bergambar dengan latar pemandangan cantik.

Tak perlu pergi ke Tanah Arab jika nak buah tin segar atau nama saintifiknya Ficus Carica. Di Perlis pun ada!

Taman Buah-buahan Eksotik di Jalan Batu Pahat, Perlis bersebelahan dengan Kelab Golf Putra dan Ladang Harumanis Bukit Bintang 2 menjanjikan pengalaman agropelancongan yang menarik.

Selain tin dan tanaman superfruits seperti gac dan markisa, anda juga boleh melihat pelbagai jenis anggur, pokok naga, tanaman kopi dan bermacam-macam jenis pokok nadir.

Ada banyak photobooth disediakan untuk anda mengambil gambar. Ada juga aktiviti memberi makan ikan di kolam selain gerai makanan juga gerai benih pokok.

Ladang anggur berlatar belakangkan Banjaran Nakawan Batu Pahat.

Pengunjung juga boleh bertandang di Superfruits Valley, Chuping yang menempatkan tanaman buah tin, gac, lemon dan markisa.

Namun, anda perlu membawa kenderaan pacuan 4 roda memandangkan ladang ini hanya boleh dikunjungi dengan mengharungi jalan tanah merah dan tidak rata.

Tidak perlu temu janji untuk ke ladang ini. Superfruits segar boleh dibeli secara terus semasa lawatan anda.

Baca juga Jangan duduk rumah saja hujung minggu, ini senarai 20 bukit sekitar Lembah Klang boleh pendaki pemula cuba

Baca juga Dah tak kenal orang sangat, Pak Lah hidap demensia