Malaysia Dateline

Tak perlu mahkamah, tak perlu hakim, boleh bela diri di pentas parti sendiri

Tindakan Umno menganjurkan majlis untuk mempertahankan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh sembilan hakim, dikecam oleh pelbagai pihak.

Bagi mereka, walaupun sudah kalah 9 – 0 apabila kesemua sembilan hakim yang membicarakan Najib memutuskan beliau bersalah, Umno berusaha mempertahankan beliau di pentas politik.

Kalau macam itu, “Tak perlu mahkamah, tak perlu hakim, tak perlu peguam, boleh bela diri di pentas parti sendiri,” kata Mohamad Sabu Presiden AMANAH dalam facebook beliau.

Ulasan ringkas ahli Parlimen Kota Raja itu mendapat ulasan segera dari pelbagai pihak.

Dalam masa satu jam sahaja posting itu dibuat malam tadi, lebih 150 komen dibuat oleh para netizen terhadap ulasan ringkas yang bersahaja itu.

Nik Aziz Jr. menulis, “Makcik totok yg kat dapur punya sembang pun kalah tuan hakim! Contoh hebat sentimen boleh kalahkan fakta walaupun dah kena 9-0!”

Aiman Shaz pula menulis, “Ringkas, padat, tajam, pedih.”

Ehsan Zakaria pula memuji posting itu dengan berkata, “Post2 pendek macam ni bisa lebih sikit power dia abg mat… Bagi lagi bagi lagi.”

Umno semalam berkumpul bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri agar mengadakan pilihan raya segera di samping membela Najib kononnya beliau tidak bersalah.

Turut berucap adalah peguam yang dipecat Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di mana beliau mendakwa Najib sebenarnya tidak bersalah.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula terpaksa berkata, tuntutan untuk mengadakan pilihan raya cepat bukan untuk kepentingan beliau tetapi kehendak ahli Umno.

Zahid berkata demikian ketika menjawab dakwaan pelbagai pihak bahawa beliau berusaha menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub agar mengadakan pilihan raya segera.

Mereka mendakwa, Umno berharap jika pilihan raya diadakan segera, Zahid akan sempat bertanding dan jika menang boleh menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapi beliau.