Tak perlu racun! Rupanya boleh guna garam kasar je untuk matikan rumput liar

Oleh KIM SYAZIE

Sering tumbuh di persekitaran rumah, ramai yang berpendapat bahawa kehadiran rumput liar telah menganggu keindahan kediaman mereka.

Mempunyai daya tumbuh yang cepat, rumput liar ini boleh muncul semula dalam masa singkat walaupun telah dibuang oleh pemilik rumah.

Segelintir orang pula kurang gemar menggunakan racun rumput kerana ia mengandungi bahan kimia selain boleh menjejaskan kesihatan.

Namun, tahukah anda, garam kasar yang dijual sangat murah di pasaran sebenarnya boleh membantu membunuh rumput liar?.

Berjaya mematikan rumput degil dengan mudah, kaedah tersebut dikongsi oleh seorang wanita dikenali sebagai Kaktin Geng Kebun di laman TikTok.

“Mula-mula, taburkan garam kasar secara merata pada seluruh permukaan atas rumput liar yang tumbuh meliang di sekitar rumah.

“Garam ini juga boleh ditaburkan di sekeliling pasu tanaman sekiranya ada tumbuh rumput-rumput kecil yang malas kita nak cabut.

“Kalau cuaca panas, keesokan harinya rumput sudah pun kering. Garamnya masih ada, tapi rumputnya sudah mati,” kongsinya.

Malah, menurut Kaktin, kaedah ini juga berkesan untuk melambatkan pertumbuhan semula rumput liar di kawasan yang sama.

Oleh kerana garam kasar boleh didapati dengan harga yang murah, pemilik rumah boleh berjimat dan tidak perlu membeli racun rumput.

Baca juga: Rider menitis air mata baca nota pelanggan selit, berbaloi naik tingkat 5