Tak perlu risau anak ketagih ‘hot dog’, wanita kongsi resipi sosej sihat buatan sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Tak perlu risau anak ketagih ‘hot dog’, wanita kongsi resipi sosej sihat buatan sendiri

Umum mengetahui, daging sosej merupakan salah satu makanan segera yang cukup diminati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia tak kira umur mahupun bangsa.

Makanan segera ini bagaimanapun tidak sesuai dimakan khususnya oleh anak kecil yang memerlukan nutrisi berkhasiat untuk membantu proses pertumbuhan mereka.

Oleh yang demikian, ibu bapa seharusnya lebih kreatif dalam menyediakan makanan berkhasiat buat anak-anak di samping memastikan hidangan itu enak untuk ditelan.

Prihatin dengan kegusaran orang ramai, seorang wanita tampil berkongsi resepi dan cara pembuatan sosej versi sihat yang sangat mudah disediakan sendiri di rumah.

Tular di media sosial, resepi itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Damia Roti dan Kek menerusi hantaran tular di platform berkenaan.

Bahan-bahan:

  • Sebiji ubi keledek
  • Empat hingga lima ketul dada ayam
  • Dua biji telur
  • Sedikit sayuran (pilihan sendiri)
  • Sebiji bawang besar
  • Empat hingga lima ulas bawang putih
  • Sedikit lada hitam
  • Secubit garam
  • Empat sudu besar tepung ubi (bancuh dahulu bersama setengah gelas air)

Langkah-langkah penyediaan sosej:

1. Campurkan kesemua bahan yang telah disediakan dan masukkan ke dalam jag mesin pengisar. Kisarkan semua bahan sehingga hancur.

2. Kemudian, masukkan bahan yang telah dikisar itu ke dalam plastik aiskrim bagi mendapatkan bentuk seperti sosej. Jangan lupa ikat di hujung kiri dan kanan.

3. Setelah selesai diikat, boleh rebuskan plastik yang sudah diisi adunan itu dalam tempoh 10 hingga 15 minit. Selalu periksa bagi memastikan plastik tidak pecah.

4. Siap direbus, sosej sudah boleh disejukkan di dalam peti sejuk dan sedia digoreng pada bila-bila masa sahaja.

Baca juga: Tak sangka Azira Shafinaz kelakar orangnya, berjaya dinobat pelakon komedi terbaik AACA 2023