Malaysia Dateline

‘Tak perlu sampai macam ni’ – Jurutera jawab kenapa tak berbaloi isi minyak sampai gigih ‘jack’ kereta

‘Tak perlu sampai macam ni’ – Jurutera jawab kenapa tak berbaloi isi minyak sampai gigih ‘jack’ kereta. Ekoran tular gambar yang memaparkan sikap pemandu Singapura sampai sanggup ‘jack’ kereta untuk mengisi minyak, ramai yang tertanya-tanya adakah tips ‘jack’ kereta itu sememangnya efektif untuk memenuhkan lagi tangki minyak.

Di Twitter, seorang jurutera simulasi, Dr Aid Fawzal tampil berkongsi pandangan mengenai tindakan jek atau henjut kenderaan untuk mengisi minyak sehingga penuh.

Berikut merupakan perkongsian penuh Dr Aid Fawzal

Perbuatan aneh ketika mengisi minyak ini seringkali dapat dilihat di sempadan selatan negara. Selain ‘jek’ kereta, ada juga yang menghenjut-henjut badan kereta. Kenapa ya?

Pertama, harga minyak petrol di Singapura adalah lebih mahal daripada harga di Malaysia. Di Singapura harga petrol seliter adalah $3.00 (RM9.32) bagi RON 95 dan $3.47 (RM10.78) bagi RON 98.

Berbanding harga Malaysia terkini (31 Mac – 6 April), RON 95 adalah RM2.05 dan RON 97 berharga RM3.91. Kita boleh lihat harga petrol di Singapura adalah lebih mahal hampir 4.55 kali ganda berbanding Malaysia untuk RON95.

Sebab itu apabila pemandu Singapura dapat rentas negara, mereka akan ambil peluang untuk mengisi minyak di Malaysia penuh (sepenuh-penuhnya) sebelum pulang ke negara mereka.

Harus diingat bahawa mana-mana kenderaan asing (foreign-registered vehicles) tidak layak untuk membeli RON95 sejak 1 Ogos 2010. Mereka hanya boleh membeli RON97 atau lebih tinggi. Ini kerana RON95 mempunyai subsidi daripada kerajaan kepada rakyat Malaysia.

Kalaulah anda ternampak mereka isi RON 95, sila tegur mereka dan pesan pada abang atau kakak kaunter stesen minyak juga.

Jack, henjut kereta untuk isi minyak penuh

Dah faham kenapa, baru boleh kita sembang hal fizik. Tindakan menge’jek’ atau henjut-henjut kereta ini adalah disebabkan cubaan untuk mengisi tangki minyak kenderaan sepenuh-penuhnya dengan permahaman sistem kenderaan yang cetek.

Pada pandangan mereka, mereka fikir apabila petrol mengisi tangki, akan wujudnya gelembung-gelembung udara pada siling (bahagian atas) tangki (lihat gambar 3a).

Dengan jek kereta sebelah, adalah dianggap bahawa gelembung-gelembung udara ni akan lari keluar mengikut laluan corong isian (gambar 3b).

Gambar 3(a) & 3(b)

Permahaman ini adalah tidak benar. Ini kerana tangki kereta atau kenderaan mempunyai beberapa laluan angin atau wap (vapour vent).

Laluan wap utama atau ‘vapor return hose’ (gambar 4) adalah saluran yang anda boleh lihat apabila mengisi minyak penuh, tiba-tiba terkeluar minyak daripada sisi saluran corong utama.

Gambar 4

Laluan ini kegunakan utamanya adalah untuk pernafasan sewaktu mengisi. Ya lah, bila petrol masuk, udara dalam tangki kenalah keluar. Inilah salurannya.

Laluan wap kedua atau Evaporative Emission Control System (EVAP) dalam gambar 5) sangat main peranan apabila kereta terdedah kepada kepanasan yang mana akan mengakibatkan minyak petrol meruap.

Gambar 5

Ruapan minyak tadi jika dilepaskan ke atmosfera akan rugilah kita (kerana minyak tersia-sia) dan juga akan mencemarkan alam.

Daripada dilepaskan ke atmosfera begitu sahaja, laluan ini direka untuk melalui satu komponen dipanggil ‘vapour canister’ atau ‘charcoal canister’.

Kanister ini tugasnya menyimpan wap bahan api tadi. Wap tadi bila cukup tebal boleh disalurkan ke enjin untuk dibakar. Ini membantu meningkatkan kecekapan bahan api (fuel efficiency), mengurangkan pencemaran dan kereta kita tidak berbau petrol macam kereta carburettor dulu-dulu.

Kedudukan paip suapan atau mulut paip EVAP ni terletak berjauhan daripada hos pengisi bahan api. Dengan adanya dua laluan angin pada tangki minyak kenderaan ini, angin yang dianggap terperangkap pada siling tangki sebenarnya dapat keluar dengan baik ketika minyak diisi.

Jadi tak perlulah risau yang tangki itu dapat penuh ke tidak; memang penuh lah.

Kesan isi minyak terlalu penuh

Apakah kesan sebaliknya? Dengan mengisi terlalu penuh (sepenuhnya²), ada kemungkinan petrol tadi akan melimpah keluar. Kalau kereta lama atau motorsikal berkapasiti rendah, limpahnya ke jalan raya.

Akan tetapi, untuk kenderaan moden, limpahan petrol akan mengisi vapour canister (charcoal canister) dan ia akan menyebabkan komponen ini cepat rosak daripada yang dijangkakan.

Maka, fikir-fikirlah ya. Nak isi penuh-penuh yang mungkin tak sampai satu liter itu atau sanggup berdepan dengan akibat kerosakan yang lebih mahal.

Saranan saya, bila mengisi minyak penuh, cukuplah sampai kepala pum (pump gun) itu tendang. Tak perlu berlebih-lebihan. Buatlah pilihan yang bijak.

Sumber: Twitter Dr Aid Fawzal

Baca juga: https://malaysiadateline.com/bapa-beli-5-kipas-untuk-kelas-anaknya-bukti-kegagalan-pengurusan-pendidikan/