Malaysia Dateline

Tak perlu tunggu naik gaji minimum RM1,500, kata MB Negeri Sembilan

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan penetapan gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan perlu segera dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, penetapan itu langkah tepat dan kena pada masanya kerana dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk bekerja dalam sektor swasta dan perindustrian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Sikamat berkata, inflasi dan kos sara hidup yang meningkat harus ditangani dengan peningkatan gaji pekerja-pekerja terutama sektor swasta dan sektor industri.

“Daripada segi kajian, kita lihat sektor berkenaan paling kurang kenaikan gaji, justeru saya amat mengalu-alukan kenaikan gaji minima ini dapat dilaksanakan dengan segera.

“Tidak perlu lagi menunggu untuk menaikkan gaji minimum terbabit. Ini masa yang sesuai mereka dapat gaji minimum RM1,500 sebulan,” dipetik BH.

Terdahulu dilaporkan pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, beliau positif penetapan gaji minimum baharu itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan.