Tak perlu tunggu sebulan, Hadi jawab Tun M

Tak perlu tunggu sebulan, Hadi jawab Tun M

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu tidak perlu menunggu tempoh sebulan seperti ditawarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Pakatan Harapan.

Beliau berkata dasar Pas sangat jelas iaitu parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Tak perlu tunggu sebulan dengan Bersatu. Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan Amanah, kita tak ada hubungan dengan mereka.

“Tak perlu tunggu (BERSATU). Bila dia dah ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, habislah,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Pas di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Ampang hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi tempoh sebulan dari semalam kepada pemimpin Pas untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan ataupun tidak.

Abdul Hadi turut menolak untuk berjumpa dengan Dr Mahathir bagi berbincang mengenai perkara itu memandangkan Bersatu mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Pada 1 Februari lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.

Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.

Menurut Abdul Hadi lagi, Pas juga akan membuat keputusan mengenai hubungan dengan PKR dalam Muktamar parti Islam itu pada 28 April ini di Alor Setar.

“PKR pun kita akan buat keputusan masa Muktamar nanti,” katanya.

Namun Pas masih berteka-teki mengenai sama ada akan meneruskan hubungan dengan PKR atau tidak.

“Itu akan lihat bila tiba masanya,” katanya.

Abdul Hadi ketika ditanya adakah Pas boleh bekerjasama dengan pakatan pembangkang seperti dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di tahun 1990 berkata:

“Masa tu tak timbul masalah, (sekarang ni) menentang secara secara terbuka, masa itu tak ada kerjasama dengan DAP, kita dengan Semangat 46 sahaja.

“Kita ada dasar yang tak kerjasama dengan parti tentang Islam dan yang ada hubungan dengan parti yang menentang Islam,” katanya.

TAGS