Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan pihaknya pernah melulus atau melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB).
Jelasnya, QMSB adalah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Oleh yang demikian, institusi itu perlu melaksanakan inisiatif pencegahan bagi mengelakkan aktivitinya disalahguna sebagai saluran kegiatan pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaan yang dijalankan QMSB diberikan kelulusan atau lesen di bawah undang-undang ditadbir BNM.
“BNM ingin menjelaskan beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang tular menerusi domain awam berhubung dengan urusan Quantum Metal Sdn. Bhd (QMSB).
“Status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas, adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.
“Sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar,” jelas bank pusat itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.
Mengukas lanjut, bank pusat itu sedia maklum mengenai penyebaran dakwaan bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.
Oleh sebab itu, pihaknya mengambil peluang ini bagi menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan dari BNM terlebih dahulu.
Perkara ini bagaimanapun terkecuali untuk tujuan peminjaman di luar pesisir yang melebihi had tertentu yang telah diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing.
Menerusi kenyataan yang sama, Bank Negara dengan tegas mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan membabitkan pelaburan.
Bukan itu sahaja, sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran juga perlulah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan.
“Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM.
“Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut.” Tegasnya.
Baca juga: Hasil kerja keras, Sweet Qismina berjaya miliki rumah di usia muda