Inilah sebab pentingnya belajar adab dalam berniaga agar tak terjadi pergaduhan dek kerana perkara kecil.
Biasalah setiap perniagaan ada yang rugi dan untung, malah ada masa kedai lain ramai pembeli tapi gerai sendiri hanya kosong.
Tidak berpuas hati pelanggan kedai lain menganggu laluan ke kedainya, seorang lelaki tergamak buat perkara di luar jangkaan.
Menurut Stomp, lelaki tersebut dikatakan melempar durian ke arah seorang peniaga pada Khamis lalu.
Kejadian yang berlaku di sebuah gerai buah di Jurong West Street 91, Singapura menjadi perhatian ramai terutama pembeli di kawasan tersebut.
Dalam video rakaman, insiden dilihat bermula apabila seorang lelaki tidak berbaju bertengkar dengan dua lelaki lain. Masing-masing memakai baju berwarna oren dan putih.
Disebabkan pergaduhan itu lelaki berbaju oren telah menolak individu tidak berbaju hingga menyebabkan dia terjatuh.
Tidak puas hati ditolak, ketiga-tiga dikatakan mula bertumbuk sebelum si baju oren bertindak mengambil sebiji durian dan melempar ke arah kepala lelaki tidak berbaju.
Melihat akan pergaduhan yang sukar untuk reda, pengunjung dilihat cuba meleraikan mereka bertiga.
Lelaki tidak berbaju kemudian dilihat berjalan ke arah lain dan mengambil parang namun sempat dihalang sebelum menyerang.
Dalam pada itu, pihak polis Singapura memaklumkan dua daripada mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum ketiga-tiganya ditahan.
Menurut akhbar Shin Min Daily News, pergaduhan bermula disebabkan lelaki tidak berbaju juga mempunyai gerai buah.
Lelaki tersebut tidak berpuas hati melihat barisan panjang gerai durian yang dilihat mengganggu laluan ke kedainya.
Baca juga: Tak sangka hobi anak bawa tuah, murid darjah 6 berjaya raih RM30k hasil hobi memancing