Malaysia Dateline

Tak puas hati wanita tak bawa anak melecur separuh badan ke hospital, rakan buat laporan polis

Seorang ibu sanggup membiarkan anak lelakinya menahan sakit selepas melecur di bahagian badan sebelah kanan dari bawah ketiak hingga ke paha tanpa membawanya untuk pemeriksaan di hospital.

Lecur di separuh bahagian badan itu dilaporkan berpunca dari kanak-kanak terbabit bermain api pada timbunan sampah.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, perkara itu terbongkar selepas pengadu yang merupakan rakan kepada ibu mangsa membuat laporan polis Balai Polis Pontian.

Pengadu hanya mengetahui hal tersebut menerusi kumpulan WhatsApp keluarga dan terkejut melihat anak rakannya yang dikenali sebagai Syikin.

Tidak berpuas hati dengan tindakan ibu bapa yang tidak membawa anak berusia sembilan tahun untuk dapatkan rawatan, pengadu buat keputusan untuk lapor kepada polis.

“Laporan dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapanya yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan walaupun lima hari berlalu.

“Sehingga laporan ini dibuat, luka mangsa semakin teruk dan lukanya sudah mula berbau,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, mangsa didapati berada di luar rumah tanpa pakaian semasa anggota polis sampai untuk membawa kanak-kanak tersebut ke hospital.

Kejadian dikatakan berlaku di Kampung Parit Kudus, Pontian Jumaat lalu itu menaikan kemarahan pengadu kerana mangsa hanya dibawa untuk rawatan selepas lima hari menanggung kesakitan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan terbakar dan melecur di beberapa bahagian seperti di bahagian kanan badan hingga ke kaki, bahagian lengan kiri, kedua-dua bahagian dalam peha, bahagian telinga kanan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pontian menaiki ambulan untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Mohamad shofee memaklumkan ibu bapa mangsa berusia 36 dan 33 tahun telah ditahan pada jam 2 pagi pada Selasa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.