Tak putus asa berniaga, Mila Jirin sasar bayar zakat RM1 juta

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai tahu juara Akademi Fantasia 5, Mila Jirin kini lebih aktif sebagai usahawan dengan menguruskan perniagaan sendiri.

Disebabkan itu penyanyi dengan tubuh kecil ini menyasarkan untuk membayar zakat perniagaan dan pendapatan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 10 tahun.

Menurut Harian Meto, Mila menyimpan keinginan itu selepas menyerahkan zakat sebanyak RM365,268.73 di Lembaga Zakat Selangor (LZS)

“Alhamdulillah, jika dihitung untuk semua 18 cawangan yang dimiliki Bizmilla Catering, pengeluaran zakat tahunan mencecah ratusan ribu, tapi tidaklah mencecah jutaan ringgit.

“Di Selangor saja sebanyak RM365,268.73. Kemudian saya juga membayar zakat di Pulau Pinang dan Johor untuk cawangan perniagaan di sana.

“Cuma sasaran saya untuk lima tahun akan datang ini adalah RM500,000 manakala dalam tempoh 10 tahun saya sasarkan RM1 juta untuk membayar zakat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambah Mila, sejumlah bayaran zakat dikeluarkan turut digunakan untuk membantu golongan sahabat artis yang mengalami kesempitan hidup.

Ia akan diberikan menerusi konsep wakalah seterusnya menghayati hikmah berzakat.

Wakalah bermaksud pengeluar zakat dilantik sebagai wakil bagi pihak LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.

“Program ini (wakalah) selaras dengan program dari poket selebriti kepada poket selebriti yang diadakan hari ini dengan kehadiran 30 selebriti tanah air.

“Saya memanjat rasa syukur kerana Allah memberi rezeki kepada saya untuk dikongsi sesama rakan artis yang hadir,” tambahnya.

Baca juga: Tak tolak buka perniagaan satu hari nanti, Fasha pilih fokus dalam bidang lakonan dulu