Malaysia Dateline

Tak salah kerjasama dengan parti non-muslim; Pilihlah pasukan dapat banteras rasuah, yakinkan pelabur dan pulihkan ekonomi

Tidak salah untuk berkerjasama dengan parti-parti non-muslim asalkan agenda untuk menyelamatkan rakyat. Sebagai rakyat jadikan PRU kali ini untuk kita memilih pasukan yang dapat banteras rasuah, pulihkan keyakinan pelabur dan bagi idea baru pulihkan ekonomi negara.

Malaysia ini ada Yang diPertuan Agong (YDPA) dan 9 Sultan. Kita ada Kementerian Dalam Negeri, Angkatan Tentera Darat, Laut, Udara dan juga ada Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Setiap satunya ada unit risikan mereka sendiri.

Siapa yang percaya jika DAP akan menguasai Malaysia dan jadi macam Singapore adalah berfikiran dangkal. Kamu fikir adakah logik kesemua institusi ini akan berdiam diri jika DAP nak hapuskan hak istimewa orang Melayu?

Adakah mereka akan berpeluk tubuh jika DAP nak mansuhkan Islam sebagai agama Rasmi. Adakah mereka akan jadi Pak turut jika DAP nak mansuhkan sistem beraja, hak istimewa orang Melayu dan tukar agama rasmi? Adakah mereka akan bergelak ketawa jika DAP bawa masuk anasir komunis?

Kita ada 222 ahli Parlimen. Yang mana 60 hingga 70 peratus adalah Bumiputera. Adakah kamu rasa wakil rakyat Melayu Bumiputera akan tergamak nak hapuskan hak istimewa Melayu Islam jika diusulkan? Mereka juga ada anak cucu sendiri.

Usah kata nak hapuskan hak istimewa. Nak buat undi tak percaya kepada PM pun susah. Speaker Dewan Rakyat akan usahakan pelbagai cara untuk gagalkan usaha.

Satu lagi tengok sahaja kes LTTE sebelum terjadinya Langkah Sheraton. Belum apa-apa kesemua yang terlibat dah kena tangkap di bawah akta POTA. Baik ahli DAP, MIC atau bukan. Contoh betapa cekapnya unit risikan PDRM.

DAP nak menguasai Malaysia, hapuskan hak istimewa Melayu, hapuskan sistem beraja ini adalah propaganda ciptaan mereka yang ingin kekal berkuasa. Propaganda mereka yang nak pertahankan budaya korup dan rasuah.

Ini semua adalah ‘scare tactic’ yang sangat berkesan untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Sama macam orang tua yang menakut-nakutkan anak-anak kecil dengan hantu supaya patuh cakap orang tua. Walapun hantu tidak wujud tapi ‘scare tactic’ yang dibuat akan kekal dalam minda dan menghantui mereka hinggalah mereka dapat berfikir dengan rasional.

Sebenarnya propaganda ini dah lama dimainkan. BTN sebelum ini antara agensi yang kerap mainkan isu anti Cina ini. Ikut pengalaman aku hadiri kursus BTN di Ulu Kinta, apa yang diterapkan oleh fasilitator adalah berunsur prejudis perkauman. Menerapkan semangat racism asobiyah Melayu dalam kalangan peserta-peserta.

Aku masih ingat antara yang disebut masyarakat Cina dan Singapura sangat berdendam dengan Melayu. Mereka sedang berkomplot untuk bangkit menguasai Malaysia dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

Kononnya majoriti masyarakat Cina simpan senjata sebagai persediaan timbulkan semula tragedi 13 Mei. Cina berpakat untuk kuasai ekonomi. Cina ini kuat menipu. Singapura dalam perancangan nak jajah Malaysia. Sebab itu mereka jadi pengkalan tentera US. Malah kononnya keseluruhan jalanraya di Singapura dibina dengan tujuan jadi tempat pendaratan jet pesawat andai kata berlakunya perperangan dengan Malaysia.

Semuanya untuk takut-takutkan Melayu yang tidak berfikir. Aku pernah tanya fasilitator BTN kenapa kita nak diskriminasikan kaum Cina sedangkan mereka berjaya dan kaya dengan hasil gigih mereka. Dan bukan semua Cina ini kaya. Ramai juga yang susah dan miskin. Kenapa mereka juga tidak dibantu?

Jawapan fasilitator, “Kita ini ibarat berada dalam bahtera besar yang sedang bertembung dengan kapal kecil dinaiki Cina. Jadi keutamaan kita adalah menyelamatkan bahtera besar dinaiki Melayu. Kerana jika kapal dinaiki Cina diselamatkan mungkin bahtera Melayu akan hanyut”.

Aku yang ketika itu baru habis SPM pun boleh fikir betapa analogi yang diberikan adalah sangat tak sesuai. Kenapa kita perlu bezakan Melayu dan kaum lain ikut kapal bahtera. Kenapa kita tak naik bahtera bersama-sama untuk menongkah arus lautan.

Ini contoh bagaimana scare tactic dan kebencian antara kaum ini disemai. Dan sekarang walaupun BTN dah tiada, isu ini diburukkan lagi dengan kemunculan cybertrooper, ‘kuba galo’ yang saban hari buat content untuk menakutkan orang Melayu. Pemimpin parti politik Islam juga tidak habis-habis mainkan sentimen komunis.

Wakil rakyat yang bertanding Parlimen ini bukanlah berkuasa mutlak. Mereka hanyalah ‘pekerja-pekerja kontrak yang dilantik’ untuk berkhidmat demi rakyat. Dan PM tiada kuasa veto atau kuasa menghapuskan hak istimewa orang Melayu. Semuanya tertakluk kepada perlembagaan.

Sama juga dengan sentimen kafir harbi atau musuh Islam. Kesemua non-muslim yang bernaung di bawah negara Islam dan patuh kepada perlembagaan adalah bukan kafir harbi atau musuh Islam. Yang diistilahkan sebagai kafir harbi dan musuh Islam ini ialah golongan yang menyatakan secara terbuka mereka menentang Islam atau membunuh rakyat Islam (macam Yahudi Palestin).

Sebab itulah sangat berbahaya ahli-ahli politik dan asatizah yang menggelarkan musuh politik mereka sebagai musuh Islam.

Pengalaman berkhidmat dan hidup di Sabah selama hampir 5 tahun membuka mata aku tentang toleransi kaum dan agama. Sabah adalah negeri terbaik dari segi kedua-duanya. Kerana mereka tidak dipengaruhi oleh propaganda politik kotor. Mereka tidak diapi-apikan oleh kebencian antara kaum.

Muslim dan Non Muslim hidup aman damai. Bebas bergaul antara satu sama lain. Malah keluarga Non Muslim mereka boleh terima dengan terbuka jika anak-anak mereka ingin memeluk Islam. Dan hubungan anak beranak kekal rapat walaupun berlainan agama.

Pernah aku didatangi seorang jururawat yang beragama Kristian. Minta aku carikan ustaz untuk mengajar Fardhu Ain. Mati-mati aku sangkakan dia nak masuk Islam. Rupa-rupanya dia risaukan adiknya yang dah 2 tahun masuk Islam tapi masih belum belajar solat da mengaji Quran dengan sempurna.

Sama juga ketika bertugas di hospital. Kawan-kawan Non Muslim di sana sangat memahami doktor-doktor Muslim.

Mereka sangat prihatin dengan Muslim. Ketika aku oncall, rakan-rakan non Muslim sesetengahnya akan concern sama ada kita dah solat ke belum. Kalau pembedahan elektif hari Jumaat selalu kawankawan sejawat akan sukarela mengganti tugasan pembedahan dan ‘halau’ aku dari OT untuk pergi Solat Jumaat. Walaupun kadangkala mereka tidak bertugas di dewan bedah ketika itu.

Cuti Hari Raya pun senang dapat. Rakan-rakan non Muslim akan berbesar hati oncall untuk beri ruang doktor-doktor Muslim sambut raya.

Tidak dinafikan ada sesetengah doktor atau specialist bersifat racist. Tapi majoriti tidak memandang agama dan bangsa. Semua dilayan dengan baik asalkan mempunyai attitude, komitmen tinggi dan semangat ingin belajar. Malah boleh amalkan Islam tanpa sebarang halangan.

Tidak pernah lagi ada rakan-rakan aku yang dipaksa keluar agama Islam. Atau peluk agama Kristian.
Yang banyak aku jumpa ramai rakan-rakan Non Muslim di Sabah yang peluk Islam. Malah lebih ramai dari apa yang aku tengok di Semenanjung.

Malah parti politik Islam yang mereka dakwa sebagai gerakan dakwah pun tak dapat tarik masyarakat non muslim di Semenanjung untuk peluk Islam. Cuba tanya Pas sepanjang 50-60 tahun mereka bergiat aktif ‘berdakwah’, berapa ramai non-Muslim yang mereka berjaya Islamkan? Pendekatan jumud mereka membuatkan non-muslim makin menjauhi Islam.

Dan tiada budaya kafir mengkafir, tiada solat 2 imam di Sabah. Tidak pernah timbul isu Muslim tak makan sembelihan Muslim yang lain kerana berbeza pendirian politik.

Sebab itu mereka yang tinggal di negeri majoriti Melayu akan terus terpedaya dengan propaganda perkauman ini kerana mereka jarang bergaul, berinteraksi dan mengenali hati budi masyarakat non Muslim. Mereka terus hidup dalam ketakutan dengan ‘hantu’ Cina dan DAP.

Pengundi-pengundi Terengganu Kelantan sebagai contoh paling takut DAP sedangkan DAP tak pernah langsung bertanding dikedua-dua negeri ini.

Pengalaman bertugas di Sabah ini membuka mata yang kita boleh hidup harmoni jika tidak dipengaruhi oleh kebencian politik. Parti-parti politik yang mainkan isu perkauman dan mengapikan kebencian ini perlu ditolak secara total.

Kita harus bangkit berkerjasama untuk pulihkan negara yang semakin tenat.

Jadi untuk PRU kali ini pilihlah pasukan yang dapat banteras rasuah. Dapat pulihkan keyakinan pelabur. Dapat bagi idea baru pulihkan ekonomi negara. Dapat bagi inisiatif baru untuk stabilkan harga-harga keperluan asas rakyat. Tak salah untuk berkerjasama dengan parti-parti non muslim dengan agenda menyelamatkan rakyat.

Kerana Islam itu bukan terletak kepada nama semata-semata. Memperjuangkan kebajikan rakyat adalah perjuangan Islam. Mana2-mana parti agendanya memperjuangkan kebajikan rakyat boleh dipilih. Tidak jatuh aqidah jika pilih pemimpin yang berkerjasama dengan bukan Islam