Malaysia Dateline

Tak sama kunjungan Fadzil ke atas Anwar dengan Hadi ke atas Najib, kata anak Fadzil

Anak bekas Presiden Pas, Almarhum Datuk Fadzil Noor menggesa Setiausaha Agung menarik balik kenyataan bahawa kunjungan pimpinan Pas ke rumah Datuk Seri Najib Razak sejurus selepas beliau didapati bersalah sama dengan kunjungan Ustaz Fadzil ke rumah Anwar Ibrahim dahulu.

Faiz Fadzil berkata, kunjungan ke rumah Anwar oleh Ustaz Fadzil untuk membela beliau selepas dizalimi bukan selepas dihukum penjara.

FAIZ FADZIL

“Kunjungan Almarhum Fadzil Noor ke rumah Anwar Ibrahim sebab beliau dizalimi dan bukannya dihukum penjara curi duit rakyat,” kata Faiz sebagaimana dilaporkan oleh laman Daruliman.my hari ini.

Beliau membidas kenyataan Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa kunjungan Ustaz Hadi Awang kerumah bekas Perdana Menteri Najib selepas dijatuh hukuman bersalah terhadap 7 pendakwaan rasuah dan mengubahan wang haram sama seperti kunjungan Almarhum Fadzil Noor kepada Anwar Ibrahim setelah beliau dipecat dari Umno.

Beliau turut mengesa Takiyuddin Hassan tarik balik kenyataan tersebut dan tidak menyesatkan orang ramai dengan bergantung kepada tauladan yang sudah meninggal dunia sedangkan Takiyuddin menyimpang daripada perjuangan beliau.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap semua tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan denda sebanyak RM210 juta. Najib perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hukuman itu dijalankan serentak.

Pada lewat malam hari beliau dijatuhkan hukuman bersalah, pemimpin Pas dengan diketuai Hadi mengunjungi Najib di rumah beliau.

Turut serta adalah Takiuddin, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pusat Dr Khairuddin Aman Razali.

Najib melalui facebooknya menyifatkan kunjungan itu sebagai kunjungan dari sahabat sejati.