Tak sampai 24 jam dicabar Pas, calon PH kongsi keputusan cemerlang SPM dan UPSR

Oleh WAN SITI AMINAH

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menyahut cabaran Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dengan menunjukkan keputusan membabitkan kelulusan pendidikan rendah dan menengah miliknya.

Keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu didedahkan sendiri oleh Pang hanya beberapa jam selepas pihak pembangkang mempersoalkan latar belakang pendidikannya.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu memuat naik transkrip sijil SPM miliknya dengan keputusan empat (A+), tiga (A) dan tiga (A-).

Berdasarkan sijil tersebut, wanita berusia 31 tahun itu difahamkan menamatkan sesi persekolahan peringkat menengahnya di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pang dalam hantaran sama turut berkongsi keputusan UPSR ‘straight A’ yang didudukinya pada tahun 2005 lalu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong Ampang, Hulu Langat di Selangor.

Cukup mengagumkan, setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Nga Kor Ming itu juga mendapat keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (A) dan Bahasa Inggeris (A+), berbanding Bahasa Cina (A-).

“Yang Berhormat (Ahli Parlimen) Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya. Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya.

“Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya. Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, Fadhli tampil membuat cabaran itu selepas calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut berdepan kontroversi berkaitan status pengajiannya dan didakwa telah mengemukakan sijil palsu.

Hal ini berikutan Khairul Azhari berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana tanpa mengambil ijazah sarjana muda dahulu, selain menghabiskan pengajian pada 2021 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pihak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudian tampil mengesahkan bahawa Khairul Azhari sememangnya pemegang Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari pusat pengajian terbabit.

Jelasnya, program tanpa akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu adalah laluan pendidikan alternatif bagi komuniti dan pekerja industri yang tidak memenuhi syarat kemasukan untuk program aliran perdana namun mempunyai pengalaman bekerja.

Baca juga: Leka berhibur di pusat hiburan, 11 penjawat awam antara 30 ditahan positif dadah