“Tak sampai 3 jam pun”, Ruhainies akhirnya jawab tuduhan khalwat dengan Aliff Aziz

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Ruhainies akhirnya membuka suara berhubung dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya dengan rakan artis, Aliff Aziz pada awal pagi Sabtu lalu.

Mengaku telah berkenalan sejak sekian lama, Ruhainies bagaimanapun menegaskan bahawa hubungan yang terjalin antara mereka hanyalah sebatas rakan artis sahaja.

Wanita berusia 32 tahun itu juga tidak menafikan dirinya sering dilihat bersama Aliff kerana kedua-dua pelakon tersebut terlibat di dalam penggambaran sebuah drama.

Pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu turut memberi jaminan akan melakukan penjelasan secara terperinci tidak lama lagi, lapor Harian Metro.

“Saya dan Aliff hanyalah kawan dan kami sudah kenal satu sama lain sejak lebih 10 tahun lalu. Sekarang pun, kami berkawan dan selalu dilihat bersama kerana sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Jerat.

“Tetapi apa-apa pun, saya akan memberi penjelasan secara lebih terperinci dalam kenyataan rasmi nanti,” kata adik kepada pelakon, Risteena Munim itu memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, Ruhainies juga memaklumkan bahawa ada beberapa fakta yang tidak tepat mengenai laporan penangkapan mereka seperti yang diuar-uarkan oleh media.

Dakwa pelakon drama Menantu Ting Tong itu, fakta tersebut telah menimbulkan lebih banyak spekulasi mengenai kejadian yang berlaku di kondomnium mewah miliknya.

“30 minit. Bukan tiga jam. Apa yang berlaku bukanlah seperti yang diuar-uarkan dan tak sampai tiga jam pun. Jadi, apabila benda tidak tepat dikeluarkan, lebih banyak spekulasi dibuat oleh orang ramai.

“Saya akan keluarkan kenyataan rasmi nanti. Saya tak mahu memberikan kenyataan bersifat terburu-buru kerana tidak mahu kenyataan tersebut ditokok tambah atau dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.” Ulas Ruhainies.

Terdahulu, seorang artis berstatus suami orang dilaporkan telah ditangkap khalwat bersama pelakon wanita di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Mengambil masa hampir tiga jam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas artis terbabit enggan membuka pintu untuk pemeriksaan.

Penyanyi, Didi Astillah kemudian mengesahkan bahawa abang iparnya iaitu Aliff Aziz adalah individu yang ditangkap khalwat bersama pelakon wanita terbabit yakni Ruhainies.

Baca juga: Senyap-senyap je berkahwin, 1 Malaysia terkejut Shuk Sahar dah jadi suami Fara Salleh