Siapa sangka, seorang bekas anggota polis berpangkat Sarjan tergamak menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul.
Tertuduh dikenali sebagai Nur Mastisha itu didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki meskipun mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai anggota polis.
Difahamkan, tertuduh memberi cadangan untuk menyelesaikan kes tanpa siasatan dengan membayar wang sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap anak lelaki individu berkenaan yang juga suspek kes cabul.
Kesalahan itu dilakukan Nur Mastisha, dua tahun lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9 dekat Cheras, 8 malam serta 8.05 malam pada 1 dan 12 Oktober 2022.
Atas kesalahan tersebut, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kepada tertuduh yang berusia 39 tahun itu kerana menerima rasuah berjumlah RM6,000, lapor Harian Metro.
Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Suzana Hussin, semalam selepas bekas Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan pilihan.
Mahkamah juga memerintahkan Nur Mastisha dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda dan Suzana berharap tertuduh insaf serta berfikir secara mendalam sebelum mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.
“Mahkamah menerima pengakuan bersalah. Tertuduh bersalah dan disabitkan kesalahan sebagaimana pertuduhan pilihan. Kes ini bukan saja bukan memberi kesan kepada tertuduh, malah termasuk anaknya yang masih kecil,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Nur Mastisha dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias berkata tindakan melibatkan salah laku anggota dalam isu rasuah telah ‘menconteng arang ke muka’ Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM, pihak pendakwaan mencadangkan denda sebanyak RM10,000 dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran serta mesej agar perkara sebegini tidak berulang pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam mendakwa tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau terbabit dalam jenayah sepanjang perkhidmatan sebagai pegawai polis selama 19 tahun.
Menganggap kes rasuah yang kali pertama berlaku terhadapnya itu sebagai ujian, tertuduh memohon jasa baik mahkamah untuk mengurangkan denda kerana perlu menganggung dua anak selain membayar hutang RM4,500 setiap bulan.
“Saya mohon jasa baik untuk kurangkan denda kerana sudah menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan. Saya juga menanggung dua anak dan perlu membayar hutang RM4,500 setiap bulan, selain bukan senang untuk mendapat pekerjaan baharu.” Jelasnya.
Baca juga: “Nak block, silakan tapi tak perlu maki” – Mira Filzah minta netizen jaga adab