Tak sangka benda ini jadi punca utama padang Stadium Bukit Jalil rosak teruk

Oleh WAN SITI AMINAH

Keadaan rumput padang di Stadium Nasional Bukit Jalil masih menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan sehingga kini.

Mana tidaknya, padang yang mengalami kerosakan teruk tersebut bakal digunakan sebagai lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada hari Jumaat, malam ini.

Seperti yang dijangka, masalah ini tentunya mencetuskan kerisauan terhadap risiko yang bakal dihadapi pemain di mana mereka mungkin terdedah dengan kecederaan.

Difahamkan, penganjuran konsert Coldplay pada akhir bulan lalu menjadi punca kerosakan pada rumput yang ditaja Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini.

Terbaharu, sekeping gambar memaparkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil daripada sudut pandangan atas telah tular di platform media sosial X (Twitter).

Sekiranya dilihat dengan teliti, kawasan rumput padang yang mengalami kerosakan teruk bertempat di lokasi pembesar suara diletakkan ketika konsert itu berlangsung.

Sehubungan itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah tampil memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023.

Permohonan maaf tersebut turut ditujukan PSM kepada pasukan bertanding, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC serta penyokong kelab bola sepak berkenaan.

Menerusi kenyataan itu, PSM telah memberi alasan bahawa ‘tiada masa mencukupi’ bagi mengembalikan padang itu ke tahap optimum menjelang perlawanan malam ini.

Tular di media sosial, kenyataan yang berjaya mencuri perhatian ramai itu dikongsi melalui satu hantaran dimuat naik di laman Facebook rasmi milik PSM, semalam.

“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 Nov lepas,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, PSM bagaimanapun telah berjanji akan melakukan penambahbaikan SOP untuk pengurusan acara di stadium itu pada masa hadapan.

Terdahulu, kerosakan pada permukaan padang ini mula menjadi perhatian selepas Tunku Ismail memuat naik satu gambar laman media sosial Instagram milik baginda.

Hantaran ini dipercayai bertujuan untuk memberi teguran kerana PSM sebelum ini memberi jaminan keadaan padang tidak akan terjejas jika ia digunakan bagi tujuan selain bola sepak.

Baca juga: Merosot 11 hari berturut-turut, Starbucks rugi hampir RM55 bilion! Ini fakta anda perlu tahu