Kaum lelaki yang sedang berusaha mendapatkan zuriat atau meningkatkan ‘kesuburan’ dicadangkan melindungi diri mereka daripada suhu panas melampau.
Cadangan ini diutarakan penyelidik Singapura selepas kajian mendapati pendedahan kepada suhu melebihi 30 darjah Celsius telah mengurangkan bilangan sperma lelaki.
Dalam usaha mengenal pasti kesan cuaca panas kepada kesuburan lelaki, penyelidik mengambil sampel air mani dalam tempoh tiga bulan dari 818 kaum Adam di Singapura.
Keputusan mendapati, respondan yang terdedah kepada suhu purata melebihi 29.8 darjah Celcius memiliki risiko 46 peratus lebih tinggi untuk menghasilkan bilangan sperma yang rendah.
Sangat mengejutkan, hasil kajian juga mendedahkan bahawa risiko penghasilan sperma dengan kepekatan yang rendah turut melonjak sebanyak 40 peratus, lapor The Telegraph.
“Secara konvensional, hasil kajian mendapati kualiti sperma menurun selari dengan pertambahan usia. Namun kajian ini menemukan, lelaki di dalam tempoh ‘puncak’ pembiakan iaitu mereka berusia 25 hingga 35 tahun adalah yang paling terjejas oleh haba.
“Jadi hanya kerana anda lelaki muda, jangan fikir anda terselamat daripada risiko ini. Iklim akan menjadi lebih panas di masa hadapan. Jadi, perkara ini perlu dipertimbangkan dalam perancangan keluarga,” kata Dr Samuel Gunther.
Dr. Gunther adalah felo penyelidik Fakulti Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS) yang terlibat di dalam kajian dijalankan di pusat pengajian tersebut.
Difahamkan, kesuburan lelaki kemungkinan terjejas dengan lebih teruk akibat cuaca panas melampau berbanding wanita kerana organ reproduktif mereka terletak di luar tubuh badan.
Menurut Gunther, kajian dijalankan NUS ini adalah analis pertama yang mengkaji kesan haba terhadap kesuburan penduduk di kawasan iklim tropika di mana suhu kekal tinggi sepanjang tahun.
“Kajian ini menunjukkan bagaimana keadaan alam sekitar seperti suhu persekitaran yang tinggi dan tekanan haba boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki.” Ulasnya.