Nampak macam senang, petik buah sahaja boleh dapat gaji lebih daripada gaji minimum di Malaysia.
Tapi sebenarnya bukan senang untuk memilih buah mana yang berkualiti untuk dijual, jika tiada pengalaman jangan harap boleh dapat kerja ini.
Itulah kisah pemuda berusia 25 tahun yang sudah bercita-cita untuk menjadi pemetik buah sejak dari zaman mudanya.
Menurut portal berita VnExpress, Nguyen Trong Tan memaklumkan pemetik buah durian boleh memperoleh pendapatan sekitar 2 juta dong (RM369.26) sehari di Vietnam.
Bermula seawal 6 pagi (waktu tempatan), lelaki tersebut bersama pasukannya tiba di sebuah ladang durian seluas satu hektar di daerah Ke Sach di wilayah Delta Mekong, Soc Trang.
Rupanya ada dua jenis pekerja, satu kumpulan yang memanjat untuk pilih buah durian dan satu kumpulan yang akan mengutipnya di bawah.
Antara yang memanjat pokok tersebut adalah Tan, dia dilihat erpegang pada dahan dan pantas memotong buah itu dengan pisau di tangan kirinya.
Mereka yang lain menunggu di bawah dengan sarung tangan dan menunggu arahan untuk mengutip buah yang jatuh.
“Tangkap (buah durian),” katanya sambil menjatuhkan buah durian kepada seorang pembantu yang membawa bakul.
Dalam masa beberapa minit, dia memetik lebih 20 biji buah durian Musang King, sejenis buah popular yang berasal dari Malaysia.
Tan boleh memperoleh 50 juta dong (RM9,227) selepas menolak perbelanjaan dalam tempoh sebulan dengan hanya memetik buah durian.
Salah seorang pekerjanya memaklumkan dia berhenti kerja kilang untuk membantu keluarga di ladang durian.
“30 minit kerja di petik durian sama dengan gaji sehari semasa saya kerja kilang dahulu,” ujar salah seorang pekerjanya.
Waktu kerja yang fleksibel dan rakan sepasukan yang mesra membuatkan dia lebih selesa dan gembira dengan keputusan untuk berhenti kerja.
Sesetengah pemilik ladang dan pusat pengumpulan juga menawarkan pengangkutan buat penoreh, penginapan, makanan, dan kadangkala insurans.
Baca juga: Tauke kereta hadiahkan Proton Persona, simpati bayi pakai mesin penafasan naik motor