Tak sangka guna 2 bahan pun menjadi, ini resipi donat bulat tanpa perlu diuli!

Oleh WAN SITI AMINAH

Tak sangka guna 2 bahan pun menjadi, ini resipi donat bulat tanpa perlu diuli!

Donat adalah sejenis kuih yang tidak ditelan zaman dan kekal diminati oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira umur mahupun bangsa.

Walaupun proses pembuatan kuih donut ini tidaklah terlalu sukar, namun orang ramai lebih gemar membelinya di kedai berbanding membuatnya sendiri di rumah.

Oleh yang demikian, seorang pengguna Facebook tampil berkongsi resipi donat yang langsung tidak renyah malah tidak perlu diuli namun dijamin enak untuk dimakan.

Sesuai untuk dinikmati seisi keluarga, berikut kami kongsikan resipi donat comel yang hanya diperbuat daripada dua bahan iaitu yogurt dan tepung naik sendiri.

Bahan-bahan

  • Yogurt asli 190 gram
  • Secawan tepung naik sendiri
  • Beg paiping atau plastik bungkus lauk

1. Gaulkan tepung dan yogurt menjadi satu adunan. Jangan bimbang sekiranya adunan agak lembik kerana ia tidak perlu diuli.

2. Masukkan adunan donat ke dalam beg paiping. Boleh juga gunakan plastik bungkus lauk dan potongkan hujungnya (bucu plastik).

3. Letakkan minyak dalam kadar yang banyak dalam kuali dan panaskan.

4. Picitkan beg paiping atau plastik untuk masukkan adunan ke dalam kuali. Gunting adunan mengikut sukatan yang anda mahu untuk digoreng.

5. Tunggu adunan donat yang tenggelam itu timbul dengan sendiri.

6. Goreng sehingga donat keperangan sebelum diangkat dan toskan minyak.

7. Sekiranya mahu tampil menyelerakan, donat yang sudah siap digoreng boleh disalutkan dengan gula atau celupkannya ke dalam coklat cair.

“Donat comel permintaan anak-anak. Hanya guna dua bahan sahaja, senang sangat! Anak gembira, ibu pun teruja.” Kata penulis yang membuat perkongsian di akaun Facebook milik Ibu Resipi.

Baca juga: Gara-gara sokong Palestin, Bella Hadid dipecat sebagai duta Dior, kini diganti model Israel