Siapa sangka kanak-kanak berusia 12 tahun ini berjaya memperoleh “pendapatan lumayan” di usia muda apabila meraih RM30,000 dalam pelbagai pertandingan memancing.
Alif Irfan Ahmad Numan, 12, memenangi pelbagai pertandingan memancing sejak awal tahun ini dengan hadiah terbesar dimenanginya adalah sejumlah wang tunai RM20,000.
Dia muncul johan selepas berjaya menaikkan ikan keli seberat 5.4 kilogram (kg) dalam satu pertandingansebuah kolam ikan berhampiran rumahnya baru-baru ini
“Dalam pertandingan itu, saya hanya menggunakan sebatang joran berumpankan isi ayam yang dibuat sendiri oleh ibu saya. Ikan sambar mata kail tidak lama selepas saya mula memancing,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri itu memetik laporan Bernama.
Kongsi kanak-kanak itu lagi, hadiah kedua terbesar yang diperoleh pula sebanyak RM5,000 apabila memenangi pertandingan memancing di Setiu seminggu sebelum Aidiladha.
Alif Irfan, berkata dia pergi memancing dengan ditemani bapa tirinya Mohd Farid Kadir, 32, dan ibunya Nor Khaizan Hasan, 36, yang turut minat memancing.
Sementara itu, Nor Khaizan berkata, dia bersyukur kerana hobi anaknya sejak berumur lapan tahun itu kini mampu menghasilkan pendapatan sampingan selain mengisi tabungnya sendiri.
“Hasil kemenangan RM20,000 yang diperoleh minggu lepas, saya beli motosikal untuk kegunaan masa akan datang selain menghadiahkan sejumlah wang kepada ahli keluarga terdekat. Selebihnya saya simpan di bank untuk tabungan Muhammad Alif Irfan.
“Hobi ini tidak mengganggu persekolahan kerana pertandingan selalunya berlangsung pada malam minggu,” kata suri rumah itu.
Baca juga: Jijik! Pelajar kolej rakam tikus berenang dalam periuk berisi kuah