Tak sangka ini yang Wan Ji nampak selama dihukum di Penjara Kajang – “Najib hari-hari..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah sensasi, Wan Ji Wan Hussin menafikan dakwaan bahawa Bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak tidak menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Wan Ji yang baru saja selesai menjalani hukuman penjaranya di sana turut mengakui sering melihat kelibat bekas Ahli Parlimen Pekan itu namun tidak pernah berinteraksi.

Perkara tersebut didedahkan Wan Ji dalam satu sesi wawancara eksklusif bersama Malaysiakini susulan ‘pembebasan secara penuh’ pendakwah itu pada 22 Mac lalu.

Sebelum ini, Wan Ji dihukum penjara sembilan bulan di atas kesalahan menerbitkan perkataan yang menghasut dan juga menghina Sultan Selangor, sekitar 11 tahun lalu.

“Kalau ada orang kata Najib tiada dalam penjara, itu tidak betul. Memang dia di Penjara Kajang, hari-hari dia ada di situ. Kecuali kalau dia ada urusan luar seperti perbicaraan di mahkamah.

“(Tetapi) Najib ini saya tak jumpa, cuma nampak sahaja. Blok saya (ditempatkan), yang belakang sekali. Dekat kawasan padang pula, ada satu blok lain dan Najib ada di situ.

“Jadi apabila peguam datang berjumpa dengan saya, saya berjalan dan nampak dia. Bercakap tak boleh sebab jauh,” kata Wan Ji memetik laporan Malaysia Kini pada 25 Mac lalu.

Penceramah bebas berusia 42 tahun itu bagaimanapun mendakwa bahawa bekas Presiden Umno tersebut menerima layanan yang cukup istimewa di Penjara Kajang.

Hal ini kerana, Najib ditempatkan di blok yang berlainan dengan tahanan lain selain dibenar untuk berpakaian ‘biasa’ selama menjalani hukumannya di penjara tersebut.

“Saya biasa nampak dia tidak memakai baju banduan sama macam kita yang lain. Dia pakai (baju) biasa sahaja, macam duduk di rumah. Bukan pakai sut, tak adalah.

“Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, sedangkan saya di situ pakai baju banduan. Memang dia istimewa sangat,” dakwanya lagi.

Wan Ji yang memulakan hukumannya pada 25 September 2023 itu telah dibebaskan pada 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Namun sebelum diberikan pembebasan penuh, bekas pegawai kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng itu tidak boleh bergerak bebas dan perlu mendapatkan kebenaran melakukan kegiatan walau dibenarkan untuk tinggal di luar.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kemudian pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Namun, Najib yang dijangka keluar pada Ogos 2028 boleh dibebaskan lebih awal atas ‘kelakuan baik’ pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.

Baca juga: Tujuh tahun tak pernah gagal jual air balang RM1 sebungkus, peniaga syukur setiap Ramadan licin semuanya