Satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada sebuah kereta tempatan telah berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, rakaman tersebut telah membuktikan kecanggihan kereta keluaran tempatan yang berjaya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di jalan raya.
Pemilik video dikenali sebagai Izzuddin berkata, keluarganya hampir terlibat dalam kemalangan ketika menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke arah Utara.
Hal ini berpunca daripada sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna hitam yang mengundurkan kereta secara tiba-tiba dipercayai akibat terlepas simpang keluar tol.
Tindakan pemandu itu menyebabkan Izzuddin hampir sahaja melanggar kenderaan adiknya yang terpaksa memberhentikan keretanya di belakang Proton Saga terbabit.
Kemalangan bagaimanapun berjaya dielakkan kerana kereta tempatan milik Izzuddin dilengkapi sistem bantuan pemandu (ADAS) dan brek kecemasan automatik (AEB).
“Aku dekat belakang sudah gelabah and terpinga-pinga. Hampir sipi-sipi nak langgar kereta keluarga. Nasib baik ada sistem AEB dan ADAS. Secara automatik dielakkan berlakunya pelanggaran kereta.
“Bergolek kami semua dalam kereta. Serius, masa ini sudah reda sekiranya dilanggar kereta lain. Alhamdulillah, syukur sistem ini ada dalam Proton X50 Flagship. Tahu-tahu sahaja ‘steering’ bergerak sendiri.
“Brek kecemasan juga berfungsi secara automatik. Aku dah goyang. Signal (lampu isyarat belok) kedua-dua belah juga menyala kalau di dalam keadaan kecemasan. Syukur masih diberikan peluang beraya. Hati-hati geng, di jalan raya,” jelasnya.
Menurut Izzuddin, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pertama tahun lalu namun baru berani bercerita selepas setahun ia berlalu.
Jelasnya, perkongsian tersebut dibuat untuk dijadikan pengajaran dan iktibar kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati memandu ketika di musim perayaan.
Rakaman dimuat naik di laman TikTok dan tinjauan mendapati rata-rata pengguna memuji kecanggihan sistem keselamatan pada kenderaan keluaran tempatan itu.
Perkongsian tersebut turut berjaya meyakinkan orang ramai untuk mengumpul wang simpanan mereka dengan harapan dapat membeli kereta tempatan yang sama.
Baca juga: Tiap tahun tukar iphone baru, lelaki menangis nak pinjam RM8K bayar hutang Alphard