Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi kembali menjadi perhatian ramai selepas mendedahkan kronologi pernikahan anaknya, Marissa Dania di Selatan Thailand.
Dalam satu sesi temu bual bersama Gempak, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu mengakui dirinya langsung tidak menjangkakan kejadian ini boleh berlaku.
Malah, anak gadisnya itu sanggup meminta bantuan rakan untuk menggantikannya di dalam bilik bagi memastikan ketiadaannya tidak dikesan sebelum melarikan diri.
Jelas Abby, perkara tersebut baru disedari suaminya iaitu Muhammad Faizal Zakaria selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman keluarga mereka.
Menyedari semuanya sudah terlambat, Abby yang juga merupakan seorang pelakon itu mengetahui keberadaan Marissa di Thailand selepas mendapatkan bantuan polis.
“Saya tak tahu. Memang di luar jangkaan. Saya balik hari itu, suami tengok CCTV ada kawan perempuan Marissa di rumah. Selepas itu, barulah saya tahu dia sudah terlepas ke Thailand.
“Rupa-rupanya kawannya itu seperti ganti dia supaya tiada sesiapa tahu dalam bilik itu tiada orang. Sangat-sangat tak terjangka dek akal. Saya tahu pun sudah lambat. Saya dapat kesan mereka di Thailand atas bantuan rakan polis
“Saya berikan maklumat dan mereka bantu jejak, tahu-tahu sudah di Thailand. Saya hubungi anak tetapi tidak dapat mungkin telefon bimbit ditutup. Saya mengharapkan benda tidak berlaku, tetapi berlaku,” katanya.
Walaupun mulanya cuba untuk menidakkan, Abby bagaimanapun sudah reda serta percaya apa yang terjadi itu adalah ketentuan dan takdir ditetapkan oleh Allah SWT.
Menerima pilihan dibuat Marissa untuk bergelar isteri kedua, namun Abby bertegas mahu pasangan berkenaan segera mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.
“Saya mengakui Marissa dan Aslam menikah di Thailand. Sijil pernikahan mereka ada pada saya. Cuma saya mahu mereka selesaikan isu ini. Daftar pernikahan di sini, sahkan ia kerana kita tinggal di Malaysia.
“Saya bimbang pernikahan di Thailand sah atau tidak. Sebab itu saya minta mereka daftar pernikahan di sini. Selesaikan benda yang belum selesai.” Jelasnya dalam temu bual itu.