Penurunan Ringgit Malaysia masih menjadi topik perbincangan hangat di kalangan ahli politik, pakar kewangan dan tentunya rakyat di negara ini.
Masalah yang dihadapi negara sejak sekian lama ini sekaligus menarik minat banyak pihak untuk melontarkan pendapat peribadi mereka bagi mengupas isu berbangkit.
Namun siapa sangka, isu tersebut turut menarik minat agensi berita antarabangsa yang terkenal dengan laporan berkaitan dengan kewangan dunia iaitu Bloomberg.
Berdasarkan laporan Bloomberg, prestasi Ringgit Malaysia yang rendah secara tidak sengaja telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negara ini.
Hal ini berikutan rakyat daripada negara luar mempunyai kuasa membeli yang lebih besar ketika mereka berkunjung ke Malaysia selari dengan penurunan mata wang.
Dedah Bloomberg, warganegara Singapura juga tidak melepaskan peluang merentas sempadan untuk ‘mengambil kesempatan’ di atas prestasi mata wang Malaysia ini.
Oleh kerana dolar Singapura memiliki kekuatan yang ‘luar biasa’ berbanding Ringgit Malaysia, rakyat negara itu dapat membuat pembelian dan berbelanja besar di sini.
Agensi perlancongan yang berpangkalan di Australia, Interpid Travel memaklumkan, tempahan bagi perjalanan ke Malaysia juga telah meningkat sebanyak 15 peratus.
“Pengembara daripada pelbagai negara semakin menerokai pelbagai tarikan yang ada di Malaysia.
“Agensi Interpid Travel melaporkan bahawa peningkatan 15 peratus dalam tempahan ke negara Malaysia pada tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023,” lapor Bloomberg.
Menurut media antarabangsa itu lagi, agensi Interpid Travel juga mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu negara yang paling berpatutan untuk dilawati di Benua Asia.
Sekadar info, Ringgit Malaysia diniagakan rendah dalam dagangan awal pada Isnin (hari ini) berbanding dolar Singapura kepada 3.5494/5534 daripada 3.5489/5525.
Terdahulu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia iaitu Apurva Sanghi menjelaskan bahawa penurunan Ringgit berpunca dari kekurangan daya saing dan skandal 1MDB.
Menurutnya, kekurangan daya saing ini sebenarnya berkait rapat dengan ketiadaan pembaharuan ketara dilakukan oleh negara sejak Krisis Kewangan Asia 1998 (AFC).
Jelas Apurva, negara Asia lain yang turut terjejas dengan AFC berjaya bangkit dari kemerosotan kerana berani menanggung risiko atas pembaharuan dilakukan mereka.
Mengulas lanjut Apurva memberitahu, masalah kian meruncing akibat skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd) di mana ia menjejaskan Ringgit dengan begitu parah.
Baca juga: “Nak makan sedap tapi tak nak bayar” – Peniaga berang pelanggan selalu ‘blah’ lepas dapat makanan