Siapa sangka, sabun pencuci pinggan yang berada di dapur boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran sekiranya alat pemadam api tiada di rumah.
Perkara tersebut didedahkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung di Kota Bharu, Kelantan menerusi satu rakaman ‘demo’ bagi memadamkan kebakaran.
Menurut anggota tersebut, bancuhan sabun pencuci pinggan boleh digunakan pada waktu kecemasan terutama jika tiada alat pemadam api di kediaman yang terbakar.
Malah cecair sabun yang telah dibancuhkan dengan air sehingga mengeluarkan buih itu sangatlah berkesan untuk memadamkan kebakaran berpunca daripada minyak.
“Sekiranya di rumah tuan-puan tiada pemadam api jenis serbuk kering, jadi bolehlah menggunakan bancuhan air pencuci pinggan untuk memadam kebakaran rumah di peringkat awal.
“Bancuhkan dengan air. Di rumah tuan puan, pasti ada cecair pencuci pinggan tidak kiralah jenama apa. Bancuhkan dengan air sehingga menjadi buih,” katanya di dalam video tersebut.
Rakaman berkenaan kemudian memperlihatkan anggota lain memadamkan api yang berpunca dari petrol menggunakan dua cebok bancuhan sabun pencuci berkenaan.
Tambah anggota bomba terbabit, kebakaran yang berpunca daripada minyak tidak boleh dipadamkan dengan simbahan air kerana dikhuatiri menjadi semakin marak.
“Sekiranya kebakaran berpunca daripada minyak, api boleh menjadi semakin besar jika disimbah dengan air. Jadi jangan guna air. Gunalah bancuhan pencuci pinggan. Sekejap sahaja, simbah dua cebok sudah padam.” Jelasnya.
Rakaman demo memadamkan kebakaran oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung itu dimuat naik semula oleh seorang pengguna platform media sosial Youtube, baru-baru ini.
Semoga perkongsian memadamkan kebakaran dengan menggunakan bancuhan pencuci pinggan ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca.
Baca juga: Baru tahu ada petua elak mesin basuh rosak, ikut panduan ini kalau sayang duit!