Seorang lelaki berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat satu perkongsian mengenai penanaman sayur sawi jenis King Kong di akaun Facebook miliknya.
Menurutnya, sayuran tersebut ditanam menggunakan botol minyak masak terpakai dan digantung pada tiang rumahnya untuk mengelakkan ancaman daripada siput.
Pemilihan medium tanaman cocopeat yang diperbuat dari sabut kelapa terbuang itu terbukti berhasil apabila sayur sawi ditanamnya membesar dengan begitu subur.
“Assalamualaikum. Sedikit perkongsian dari saya untuk sahabat yang baru bermula bercucuk tanam. Inilah gambar lama hasil saya menggunakan botol minyak masak sebagai bekas tanaman.
“Mungkin ada yang pernah melihat gambar-gambar ini dalam kumpulan Facebook yang lain. Sayur sawi jenis King Kong, menggunakan medium cocopeat seratus peratus.
“Baja AB. Cara tanamnya semai dahulu kemudian pindah atau semaikan terus dalam bekas tanaman,” kata lelaki yang dikenali sebagai Mohd Farhan Razali dalam perkongsian tersebut.
Cara-cara menanam Sayur Sawi yang bergantung
1. Biji benih sayur sawi jenis King Kong ini boleh dibeli melalui platform pembelian di atas talian pilihan anda.
2. Semai dahulu biji benih sehingga anak pokok sawi itu tumbuh empat helai daun. Kemudian barulah dialihkan dalam bekas minyak yang berisi cocopeat.
3. Sebelum itu, potongkan dahulu botol minyak masak lima kilogram (kg) pada dua bahagian untuk dijadikan pasu.
4. Jangan lupa untuk tebuk satu lubang di bahagian bawah atau penutup botol supaya lebihan air boleh keluar ketika tanaman sayur sawi tersebut disiram.
5. Kemudian, letakkan besi pada bekas agar mudah disangkutkan pada tiang rumah.
6. Biji benih juga boleh disemai terus dalam dalam bekas, tetapi jangan lupa untuk basahkan cocopeat terlebih dahulu.
7. Medium cocopeat digunakan kerana jisimnya ringan ekoran tanaman sayur sawi tersebut akan disangkutkan kepada tiang rumah.
8. Tanam satu sehingga tiga pokok sawi dalam satu bekas dan lakukan siraman dua kali sehari. Tidak perlu siram sekiranya cocopeat masih lembap.
9. Selepas seminggu, anak pokok boleh dialihkan. Baja juga boleh mula diletakkan tetapi dalam dos yang rendah. Guna baja AB. Inilah hasil sawi selepas 40 hari.
Baca juga: “Aku ingat lepas dapat anak perempuan ni suami akan berubah, tapi makin banyak pula dia curang…”