Seorang wanita langsung tidak menyangka rumah tangga yang dibina dengan penuh kebahagiaan hampir retak angkara adik kandungnya sendiri.
Episod gelap dalam hidup wanita itu bermula selepas memutuskan untuk mengajak adik kandungnya tinggal bersama apabila ibu dan bapa mereka meninggal dunia.
Menyangka hubungan mereka baik-baik sahaja, hati wanita terbabit hancur berkecai apabila mendapati gadis itu menghantar gambar yang tidak senonoh kepada suami.
Dikhianati oleh adiknya sendiri, berikut perkongsian wanita bersuami yang menyesali keputusannya mempelawa saudara kandungnya tinggal bersama di kediamannya.
“Kisah ini bermula selepas empat tahun saya berkahwin. Saya tinggal jauh daripada keluarga suami. Saya bawa adik tinggal bersama memandangkan kami hanya ada dua beradik dan mak ayah juga sudah tiada. Umurnya muda lapan tahun dari saya. Hubungan kami bertiga termasuk suami amat rapat.
“Adik menganggap saya dan suami macam mak dan ayahnya. Kami memberikannya kasih sayang dan beli apa yang dia nak. Dia baik dan rajin, kami semua selalu solat berjemaah sama-sama. Apa yang saya ada, adik selalu ada. Dari baju, kasut, dan mekap. Hubungan saya dan suami baik-baik sahaja.
“Tetapi semenjak adik ada, suami dah jarang bercakap dengan saya. Asyik bermain dengan telefon. Saya tak curiga kerana suami selalu bersama saya. Dia akan ambil saya balik kerja macam biasa untuk jimat minyak kereta. Kami selalu cerita kisah masing-masing sebelum tidur dan semuanya macam biasa sahaja.
“Saya jenis bagi suami tengok telefon saya, begitu juga dia. Tetapi kebelakangan ini bila saya nak tengok telefon, dia tak bagi. Katanya telefon miliknya kini agak sensitif. Mudah rosak. Bayangkan, masa saya pegang telefon, tiba-tiba dia rampas. Katanya takut rosak. Selepas itu, saya jawab akan belikan yang baru jika rosak.
“Keesokkan harinya, saya buka telefon milik suami diam-diam selepas dia pergi ke tandas di pagi hari. Terkejutnya saya bila didapati telefon milik suami ada kata kunci. Saya rasa pelik dan cuba buka mengikut kesan cap jari. Saya pun periksa akaun FB (Facebook) milik suami selepas berjaya buka.
“Paling mengejutkan, telefon suami terima pesanan Whatsapp dari adik saya. Bila dibuka, ternyata ada gambar adik dan mesej bersayang baby dengan dia. Si dia, adik kandung, orang yang paling saya percaya. Mesej terakhir pada pagi itu masih segar dalam ingatan saya, ‘nanti B hantar kakak pergi kerja, B balik semula’.
“Saya tak tunggu lama, tangan menggigil-gigil tahan marah. Saya sangat sayangkan suami, tetapi dia boleh khianati saya sampai macam ini sekali. Saya campak telefon miliknya ke dinding. Saya yang masih memakai telekung berlari keluar dari rumah. Hidupkan enjin kereta dan memandu tak tentu arah.
“Sambil memandu saya menangis, tak tahu nak kemana. Saya berhentikan kereta bila sedar emosi sudah tak stabil dan badan menggeletar. Saya menjerit menangis. Telefon dan duit tak bawa, saya tak tahu nak buat apa. Saya buntu, patutlah suami bersikap dingin akhir-akhir ini. Rupa-rupanya mereka berdua ada hubungan sulit.
“Selepas habis menangis, perasaan macam lega sedikit. Saya terus memandu pulang ke rumah. Tengok jam sudah pukul 8 pagi. Tak tahu apa akan jadi, tetapi saya cuma nak berdepan dengan mereka. Dalam otak saya cuma, ‘AKU NAK MINTA CERAI’. Bila sudah sampai, saya nampak suami mundar-mandir di depan rumah.
“Setelah suami nampak kereta saya, dia terus terjah. Mungkin tahu saya dapat baca mesej-mesejnya. Saya tanya kepadanya, sudah puas berzina? Dia cuba terangkan kepada saya apa yang berlaku. Tetapi semuanya tak masuk akal. Katanya, suami tak tahu sejak bila dia suka dekat adik saya.
“Mulanya tiada apa-apa. Tetapi lama-lama jadi suka sebab asyik tengok adik dalam rumah. Saya tanya berapa kali diorang dah berzina, dia jawab jujur. Sudah lima kali mereka berzina ketika saya tiada di rumah. Saya sedih dan pukul suami. Waktu itu sudah tidak rasa berdosa. Cuma rasa teraniaya.
“Setelah berhenti menangis, saya minta cerai daripada suami supaya dia boleh berkahwin dengan adik dan berhenti berzina. Saya rela undur diri demi kebahagian mereka. Lagipun waktu itu, saya tak ada anak lagi. Suami kata dia tak nak ceraikan saya. Dia minta maaf dan berjanji takkan buat lagi.
“Suami kata dia cuma bernafsu dengan adik, tetapi tiada rasa sayang atau cinta. Dia cintakan saya seorang. Suami menangis depan saya. Masa itu saya tak beri apa-apa jawapan. Saya halau adik keluar dari rumah dan suruh dia balik kampung tinggal di rumah lama kami. Saya tak marah padanya, saya tak sentuh langsung badan dia.
“Saya cuma panggilkan Grab dan minta dia balik kampubg. Menangis-nangis dia merayu pada saya meminta maaf. Saya cakap sudah maafkan, tetapi dia kena balik. Dia turuti dan tinggallah saya dan suami dalam rumah. Saya minta cerai kali kedua, suami tak nak. Suami minta diberi peluang. Dia mengaku bersalah, silap.
“Beberapa hari hubungan saya dan suami sangat dingin. Jika hari-hari ada sarapan di meja, setelah kejadian itu tiada lagi. Jika hari-hari saya minta suami cium sebelum keluar kereta, setelah itu tiada lagi. Jika setiap malam saya tidur berbantalkan lengannya, kini tiada lagi. Saya rasa sudah tiada sesiapa lagi.
“Saya juga sudah tidak percayakan sesiapa. Satu malam, saya bangun solat sunat. Saya rasa sayu sangat. Saya dapat rasa mungkin ini silap sendiri tak jadi isteri yang baik. Tak beri layanan baik walaupun saya tak pernah menolak keinginan dia. Seperti ada bisikan dalam hati saya untuk selamatkan perkahwinan ini.
“Semua orang buat silap dan Tuhan masih beri peluang untuk bertaubat. Apatah lagi manusia. Saya cari sedikit rasa sayang dalam hati untuk suami. Ya, saya masih sayangkannya. Mungkin anda semua boleh gelar saya bodoh kerana menerimanya kembali. Tetapi, saya buat keputusan ini untuk selamatkan perkahwinan.
“Pagi itu, saya siapkan sarapan dan kami duduk berbincang. Saya beri suami syarat. Jika suami sayangkan hubungan kami, dia perlu benarkan saya berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada rumah tangga. Yang kedua, suami perlu block (sekat) adik dari semua sosial media dan anggap dia sudah tiada.
“Syarat yang terakhir, ini adalah peluang kedua dan terakhir. Jika suami buat lagi, saya takkan pernah kembali lagi. Dia setuju. Selepas saya beri peluang dan kini sudah tiga tahun berlalu, suami menjalankan janjinya dengan baik. Dia berubah dan hubungan kami jadi lebih baik. Kami semakin bahagia selepas mendapat anak.
“Tahun ini, tahun ketujuh kami berkahwin. Saya langsung tidak merasa menyesal telah memberinya peluang kedua,” katanya wanita berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan di atas talian.
Baca juga: “Jangan libatkan anak atas kesalahan ibu bapa” – Shakilla terkilan baca komen netizen pasal ‘aib’