Tak sedar seluar bertukar jadi skirt, Izreen Azminda kongsi pengalaman dipukau

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Izreen Azminda kembali mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas berkongsi pengalamannya ketika dipukau oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di ibu kota.

Izreen menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story itu berkata bahawa kejadian berlaku di tandas pusat beli belah selepas individu terbabit bertindak mencalitkan sesuatu di seluar miliknya.

Seakan tidak sedar dengan apa yang telah berlaku, aktres berusia 39 tahun itu mengaku hilang pertimbangan dan mengikut segala arahan diberikan oleh pelaku secara rela hati.

Akibat daripada kejadian pukau itu, Izreen tidak hanya mengalami kehilangan barangan berharga termasuk beg tangan malah seluar dipakainya turut lesap dibawa lari bersama pelaku.

“Semasa itu, aku dekat tandas di pusat beli belah tersebut. Tiba-tiba, pelaku datang calitkan gincu di seluar aku. Dia kata tak mengapa, boleh tolong cuci. Aku macam tengah tak sedar dan cabut seluar itu.

“Seluar itu diserahkan kepada dia. Selepas itu, dia berikan skirt miliknya dekat aku. Bukan setakat seluar, aku bagi sekali dengan beg tangan. Perempuan (pelaku) itu India. Bayangkan aku pakai skirt dia.

“Kemudian pusing pusat beli belah itu (dengan memakai skirt). Aku sedar agak lambat,” kata pelakon yang mula meraih populariti menerusi lakonannya di dalam drama Eksperimen Cinta itu.

Mengulas lanjut, Izreen melalui hantaran berikutnya turut menjelaskan bahawa kejadian pukau berkenaan berlaku ketika dirinya masih lagi bergelar pelajar dan belum mengenakan tudung.

“Penyudahnya aku hilang beg tangan. Duit ada sedikit sahaja sebab masa itu, aku tengah belajar lagi. Kad bank, kad pengenalan dan lesen memandu. Ketika itu, aku belum memakai tudung.

“Aku pakai skirt itu jalan-jalan dalam pusat beli belah dengan bulu kaki belum cukur. Sampailah aku terjumpa dengan kawan sebab memang tunggu dia pun sebelum itu.

“Selepas itu kawan aku tegur, ‘skirt apa yang hang pakai dengan nampak bulu kaki bagai ini’. Barulah aku sedar. Dasar, tak lalu nak ingat balik (kejadian itu).” Kesal Izreen dalam hantaran tersebut.

Baca juga: Isu buli di set penggambaran, ini komen tegas Nabila Huda buat pelakon baru