Tak sempat mencari rezeki, peniaga redha balang air minuman dipenuhi air hujan

Oleh KIM SYAZIE

Satu rakaman memaparkan seorang peniaga yang sedang mengemas barang jualan telah mengundang sebak di kalangan pengguna media sosial.

Manakan tidak, peniaga tersebut tidak sempat menjual air buah-buahan di gerainya ekoran telah dicemari air hujan.

Mungkin ingin terlihat tabah di depan anaknya, muka sang bapa sentiasa terukir senyuman walaupun terpaksa menanggung kerugian.

Menerusi video yang dimuat naik di laman media sosial TikTok, peniaga itu menerima ujian apabila hujan tiba-tiba turun.

Gerai kecil itu juga tidak dilengkapi dengan sebarang kelengkapan perlindungan seperti payung atau khemah jualan.

“Tak apa, rezeki Allah itu luas,” ucap sang bapa kepada anak gadis yang setia menemani dirinya mencari rezeki.

“Permudahkanlah segala urusan ibu ayah saya ya Allah,” tulis kapsyen sang anak yang tulus mendoakan orang tuanya.

@nrealya

permudahkanlah segala urusan ibuayah saya Ya Allah🤲🏻🥰

♬ الصوت الأصلي – لــ ؏ـبـدالـࢪحــمۘـــنۨ🖤

Setakat ini, video itu telah mendapat lebih tiga juta tontonan dan rata-rata pengguna media sosial mendoakan keluarga tersebut.

“Ya Allah, lancarkan rezeki orang-orang yang ikhlas mencari nafkah untuk keluarganya. Amin,” komen seorang pengguna.

“Semoga ada rezeki untuk abang ini. Luaskanlah rezekinya sebagaimana luasnya lautan,” kongsi pengguna lain.

Baca juga: Dah isi borang keahlian, Annuar Musa bakal sertai PAS?