Tak tahan dikecam lepas buka tudung, Masya Masyitah berhenti jadi artis – “Jangan salahkan mak ayah saya”

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi sensasi, Masya Masyitah akhirnya membuat keputusan untuk mengundurkan diri dan tidak mahu lagi bergiat aktif di dalam industri seni.

Keputusan itu dibuat setelah wanita yang berusia 23 tahun itu menerima kecaman hebat daripada rakyat Malaysia kerana menanggalkan tudung.

Tidak mahu lagi bergelar selebriti, pelantun lagu Halimunan itu menginginkan satu kehidupan yang bebas daripada tumpuan orang ramai.

Berpegang teguh dengan keputusan yang diambilnya, juara pertandingan Ceria Popstar musim kedua itu turut menolak beberapa tawaran ‘job’.

Menyita perhatian ramai, perkara itu didedahkan Masya menerusi satu sesi siaran langsung yang diadakan di akaun Instagram miliknya.

“Saya nak hidup bebas, saya dah tak mahu jadi artis. Tak mahu dunia glamor. Orang kata saya sendu, ya memang saya nak jadi sendu. 

“Sekarang saya nak jadi orang biasa sahaja. Berlambak job yang saya dapat, tapi saya tolak, saya tak mahu ambil. Saya nak berehat,” katanya.

Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff itu juga meminta orang ramai agar berhenti menunding jari kepada ibu bapanya.

Jelasnya, keputusan untuk menanggalkan tudung itu merupakan pilihan dirinya sendiri tanpa sebarang dorongan daripada orang lain.

Menanggung sendiri dosanya, Masya berpendapat orang ramai tidak patut meletakkan kesalahan itu di bahu ibu bapanya.

“Itu (tanggalkan tudung) adalah pilihan saya sendiri. Kalau nak marah, marah pada saya. Tak payah nak cakap mak saya pun ikut sama galak.

“Jangan salahkan mak ayah saya. Siapa kata ayah saya akan tanggung (dosa tidak menutup aurat)? Sendiri buat, saya sendiri lah tanggung.” Ulasnya.

Terdahulu, Masya kerap menjadi sasaran netizen sebelum ini kerana gemar tampil dengan gaya yang tidak sesuai bagi wanita bertudung.

Sering dihimpit kontroversi, Masya akhirnya mengejutkan orang ramai setelah memuat naik gambar tidak bertudung pada 30 Julai lalu.

Baca juga: Bahana lupa matikan ‘charger’, bayi 8 bulan maut lepas kunyah wayar pengecas