Nama pelakon, Erry Putra menjadi topik perbincangan hangat di media sosial setelah dihimpit kontroversi kerana didakwa bercinta dengan gadis di bawah umur.
Difahamkan, spekulasi mula timbul selepas remaja yang berusia 16 tahun itu memuat naik video memaparkan beberapa gambar dirinya bersama pelakon tersebut.
Lagu-lagu bertemakan cinta pula digunakan remaja itu sebagai audio latar belakang di dalam video tersebut dan antaranya adalah A Thousand Years dari Christina Perri.
Tidak terhenti di situ, gadis tersebut turut berkongsi satu tangkap layar memaparkan perbualan mereka berdua menerusi pesanan secara terus (DM) di laman Instagram.
Malah ketika ditanya oleh pengguna media sosial, gadis tersebut enggan menjawab dengan tepat dan meninggalkan komen seakan Erry Putra adalah teman lelakinya.

Tampil memberikan penjelasan, pemilik nama sebenar Muhammad Razlan Hamzah Ahmad itu mengakui mengenali gadis tersebut dalam sebuah acara di Pulau Pinang.
Bertugas sebagai pengacara, Erry bagaimanapun melayani remaja yang setiap hari mendatanginya selama 10 hari acara berlangsung sebagai seorang peminat sahaja.
Jelasnya, mereka berdua memang ada mengambil gambar ketika bertemu, namun tidak pernah bertukar nombor telefon dan hanya berkomunikasi di laman Instagram.
“Saya tidak pernah bercinta dengan mana-mana gadis yang bawah umur. Benda itu hanya gosip sahaja. Mungkin sebab video tersebut FYP (tular dalam aplikasi TikTok).
“Sebenarnya pada saya, dia sudah macam anak kerana perbezaan umur kami. Saya juga hanya layan dia seperti peminat. Tetapi mungkinlah dia ada perasaan sedikit.
“Ada beberapa chat (DM) di mana awalnya saya balas. Orang salah anggap. Saya tidak mahu dianggap mengambil kesempatan di atas budak bawah umur,” katanya.
Tular di media sosial, Erry memberikan penjelasan tersebut di dalam sesi temu bual yang dirakam sebelum dikongsikan di platform TikTok menerusi akaun @f8buzz.
Dalam temu bual tersebut, Erry turut memaklumkan bahawa dirinya sudah berhenti berhubungan dengan peminat itu selepas video tersebut menjadi soroton ramai.
“Sekarang kami sudah tidak berhubung. Dia masih tanya adakah saya memarahinya. Saya memang marah sebab dia berkongsi tangkap layar sehingga orang salah faham.
“Saya menghargainya kerana dia hari-hari datang. Maknanya dia menghargai kehadiran saya walaupun ada artis lain di situ. Tetapi tak tahu pula dia ada niat lain.” Ulasnya.
Baca juga: “Pagi petang siang malam bank cari” – Isteri dedah ‘usahawan’ terkenal hutang keliling pinggang