Malaysia Dateline

Tak tahu urus kewangan sendiri, semak 7 perkara ini dahulu untuk nikmati lebihan gaji

Seorang individu yang mengaku tidak tahu mengurus kewangannya sendiri meminta pandangan orang ramai bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan bulanannya.

Mengikut butiran komitmen bulanan yang dikongsi, lelaki berkenaan perlu berbelanja sebanyak hampir RM3,200 dengan pecahan perbelanjaan terbesar adalah pinjaman rumah berjumlah RM1,135.94.

Sehubungan itu, ramailah warganet tampil membantu dengan memberi cadangan berdasarkan pengalaman masing-masing untuk pemuda itu mengurus kewangan lebih baik.

Berikut adalah rangkuman pendapat dan saranan warganet yang dirumuskan kepada 7 perkara yang perlu diberi perhatian dalam mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.

Dalam masa sama, mungkin ianya juga boleh diteliti oleh kita semua dan mengambil tindakan seperti yang dicadangkan menjelang bulan penarikan sejumlah subsidi barangan keperluan harian mulai 1 Julai ini:

1. Belanja dapur / barangan runcit

Cuba mula jimatkan 10 peratus. Kurangkan beli makanan segera dan makanan berproses. Jangan beli langsung jajan serta makanan ringan yang manis dan berkolesterol tinggi. Lebihan belanja dapur itu boleh tambah untuk beri kepada orang tua.

2. Duit untuk orang tua

Kalau boleh kurangkan kepada RM300 jika keadaan emak ‘steady’ saja. Tapi langkah ini mungkin ikhtiar terakhir selepas segala budget untuk lain-lain perkara itu ditamatkan atau dikurangkan terlebih dahulu.

3. Telco

Tamatkan pakej yang mahal. Gantikan dengan kadar lebih rendah seperti Digi RM35 panggilan percuma prabayar untuk semua rangkaian dan internet tanpa had.

Manfaatkan pelbagai platform yang jauh lebih murah. Bakinya, RM45 boleh simpan untuk kegunaan kecemasan.

4. Penapis air dan udara

Bukan satu keperluan mendesak pun. Tamatkan jika mahu kurangkan kos bulanan. Untuk air bersih, beli penapis yang sendiri boleh pasang. Boleh beli penapis air grade Coway.

Jika tinggal bujang, beli air minuman sekotak. Contohnya, lima kotak air minuman boleh tahan untuk sebulan. Di Speedmart, ada. Sekotak kurang RM10. Lebih berbaloi.

5. Astro

Kerja balik lewat tiada masa pun tonton TV. Malah, banyak platform lain untuk menonton program atau filem kegemaran.

Kalau hujan pun bukan dapat siaran. Potong saja Astro ganti Njoi atau pakai smart TV yang ada sokongan MyTV.

Lebihan peruntukan untuk langganan Astro itu boleh dimanfaat bawa mak makan jalan-jalan. InshaAllah, rezeki yang sedikit pun lebih berkat.

6. Pinjaman bank

Boleh pergi bank untuk semak semula kurangkan bayaran atau cepat-cepat selesaikan pinjaman itu.

7. Petrol/Tol

Kurangkan merayap. Kalau sebelum ini setiap minggu merayap, cuba kurangkan kepada dua kali seminggu makan angin.

Banyakkan jalan kaki atau berbasikal. Kalau nak pergi kedai atau tempat yang tidak jauh dari rumah, gunakan motor. Malah, ramai saja orang ulang alik tempat kerja setiap hari menempuh perjalanan sejauh 50 km naik motor saja. Jimat banyak duit petrol dan tol.

Baca juga Sisa minyak masak boleh buat duit? Ini tips elak buang dalam sinki

Baca juga Macam babak dalam the final destination, lelaki tahan sakit setengah jam apabila kaki tersepit di pintu lif