Malaysia Dateline

Tak terkejut disaman PKR, Zuraida kata ‘teruskan’

Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sama sekali tidak terkejut apabila bekas partinya telah membawa tuntutan saman RM10 juta terhadapnya, ke mahkamah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, jumlah tuntutan yang dikenakan tidak masuk akal dan menganggap PKR muflis idea untuk meningkatkan kehidupan rakyat sehingga perlu bergantung pada aksi publisiti murahan.

Zuraida turut menyifatkan tindakan PKR itu sebagai membazir masa.

“Mana-mana pelajar undang-undang boleh menjelaskan kepada kepimpinan PKR bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakan sebarang perjanjian yang melanggar perlembagaan persekutuan.

“Saya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Datuk Ong Kee Hui dan Nordin Salleh, serta Artikel 10 dalam Perlembagaan.

“PKR nampaknya tidak sedar bahawa dalam demokrasi kita, wakil yang dipilih bebas meninggalkan parti politik mereka dan untuk perkara itu saya dipecat,” katanya membidas kenyataan awal PKR pagi tadi.

PKR telah mengemukakan saman terhadap Zuraida dengan menuntut ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta kepada parti seperti dalam terma dan syarat di bawah bon yang ditandatangani dan mengikat dirinya.

PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September lalu melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

PKR dalam pernyataan tuntutannya, berkata Zuraida menandatangani bon di mana beliau mengikat dirinya untuk membayar kepada parti sejumlah RM10 juta, pada 25 April 2018.

Sementara itu, Zuraida berkata beliau meninggalkan PKR kerana parti itu tidak lagi tertumpu kepada kebajikan rakyat, tetapi pada cita-cita Perdana Menteri seorang lelaki.

“Ada pun saman yang sangat menyeronokkan ini terhadap saya, teruskan!,” katanya lagi.