Tak wajar desak Ambiga, tunggu kes dibicara di Mahkamah London

Para pemimpin Pas dan Umno diingatkan agar tidak mendesak bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga (foto) untuk menjelaskan maklumat berhubung dana disalurkan perdana menteri kepada Pas seperti dinyatakan pengarang Sarawak Report dalam pembelaan dan tuntutan balasnya terhadap saman fitnah presiden Pas di Mahkamah Tinggi London.

Ini kerana, ia adalah proses biasa mahkamah dan semua pihak perlu menunggu sesi perbicaraan bagi memperolehi penjelasan.

Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau merasa lucu dengan kenyataan beberapa pemimpin Pas dan Umno yang menggesa Ambiga, Clare Rewcastle-Brown atau peguam Claire untuk mendedahkan maklumat tentang dakwaan penyaluran dana Datuk Seri Najib Razak kepada Pas.

Menurut Hanipa, oleh kerana saman fitnah itu belum dibicarakan di mahkamah, maklumat berhubung bukti pembelaan tidak boleh didedahkan di luar mahkamah.

“Sabarlah sikit… tunggu lah kes bicara dulu,” katanya.

Hanipa menjelaskan, apa yang didedah oleh Claire di dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas (pliding) adalah fakta atau maklumat yang hanya perlu dibuktikan semasa perbicaraan.

“Tak boleh desak mana-mana pihak sama ada Ambiga atau Claire atau peguam Claire untuk suka-suka dedah. Ini bukan perhimpunan macam Fastaqim 2.0 yang suka-suka dedah!” ujar Hanipa merujuk kepada himpunan tiga hari, dua malam anjuran Pas di pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, akhir Sept lalu.

Tambah Hanipa, peguam Claire juga tidak boleh dipaksa untuk mendedahkan maklumat yang diperolehi kerana dikawal “privilege communication” antara peguam dan anakguam.

“Bagus juga jika ingat nasihat Ustaz Ismail Kamus, ‘Ada orang bila dia diam kita ingat dia bangang, tapi bila dia cakap confirm bangang!'” ujarnya sinis.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan 31 Okt lalu menggesa Ambiga memberikan respon terhadap dakwaan Claire dalam pernyataan pembelaannya bagi “memberikan gambaran sebenar terhadap kenyataan dengar cakap (hear say) tersebut”.

Malah timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bercakap kepada pemberita semalam, menggesa Ambiga bertanggungjawab terhadap tindakannya memberikan data dan maklumat mengaitkan pemimpin tertinggi Pas menerima wang daripada perdana menteri kepada Clare.

Tidak tergugat dengan desakan para pemimpin Umno dan Pas, Ambiga dalam satu kenyataan berkata, serangan terhadapnya daripada Pas, penyokong, sekutu dan media berdasarkan kandungan dua perenggan daripada pernyataan pembelaan Claire “amat janggal dan jarang berlaku”.

“(Mereka) mahu menjalankan ‘perbicaraan mini’ atau pendakwaan di Malaysia berdasarkan dua perenggan daripada pembelaan yang menyebut nama saya.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, saya terima serangan bertalu-talu daripada menteri, anggota parti dan sekutu yang sealiran dengan pihak penuntut (Datuk Seri Hadi Awang).

“Media kerajaan semalam berikan saya liputan tiga muka surat, termasuk muka depan, yang menuntut saya menjelaskan perkara sebenar. Saya malah masuk berita TV#,” katanya.

Ambiga berkata, oleh kerana Hadi memulakan prosiding itu di UK, sebarang permohonan maklumat mesti dibuat melalui mahkamah negara itu.

Perbicaraan juga, katanya jika berlaku akan diadakan di negara itu dan bukannya di Malaysia.

3.5
OVERALL SCORE
: 5.0
1 user vote x 2.0
CATEGORIES
TAGS