Malaysia Dateline

Tak yakin kepada Pas punca 22 MP Umno jumpa Azmin

Ketidakyakinan kepada kelangsungan kerjasama antara Umno dan Pas menjadi punca utama kepada sekumpulan pemimpin dan ahli parlimen Umno berjumpa dengan Menteri Pembangunan Ekonomi, Datruk Seri Mohamed azmin Ali baru-baru ini.

Menurut sumber yang turut serta dalam pertemuan itu, para anggota Parlimen Umno berkenaan memberitahu, mereka tidak yakin Umno dan Pas boleh kekal bekerjasama.

“Banyak sangat perbezaan antara Umno dan Pas. Mereka tak yakin dengan keikhlasan Pas yang membolehkan kerjasama ini kekal,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Selain perkara itu, para pemimpin Umno itu juga membawa tiga mesej lagi kepada Azmin dalam pertemuan itu.

Ia termasuklah memberikan tawaran untuk mengundi Tun Dr Mahathir Mohamad jika ada undi tidak percaya terhadap beliau.

“Mereka juga menuntut Azmin mengekal peruntukan kepada ahli parlimen Umno sebagaimana yang diperolehi oleh ahli parllimen Pakatan Harapan.

“Jadi betullah yang dikatakan oleh sesetengah pihak, ini soal nak peruntukan,” kata sumber itu lagi.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pertemuan antara anggota parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali baru-baru  adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Pada 18 November lalu, sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima dari PKR dipercayai hadir di kediaman rasmi Azmin di Presint 10, Putrajaya.

Pertemuan itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Tidak lama selepas anggota-anggota parlimen berkenaan dilihat meninggalkan kediaman Azmin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein sebagai dalang di sebalik pertemuan tersebut.

Bersama Azmi adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamarudin  (Ahli Parlimen Ampang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).