Malaysia Dateline

TAKAD tegas pendirian bantah projek empangan di Sabah

Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan (Takad) mengulangi pendirian mereka yang bertegas akan tetap menentang cadangan untuk membina empangan mega Kaiduan yang mula ditimbulkan semula oleh beberapa pihak.

Takad berkata, biarpun empangan itu dibina di Papar atau di Penampang, kesannya akan tetap sama kepada mereka yang tinggal di sekitar sungai itu.

Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa empangan mega yang bakal dibina itu bakal membinasakan satu sistem sungai dan alam sekitar serta kehidupan dan tanah adat orang asal Sabah.

“Takad sekali lagi mengingatkan dan menyeru semua pihak untuk tidak politikkan musibah yang menimpa komuniti Ulu Papar dan kawasan sekitar.

“Ini masa untuk semua rakyat Sabah tidak kira parti untuk menyarankan cara mesra alam untuk selesaikan masalah air, tidak kira di daerah mana atau orang apa yang terkesan.

“Ini persoalan selamatkan sungai dan tanah adat, bukannya politik. Sebab kita semua adalah orang asal Sabah, kehidupan kami berasaskan alam sekitar dan wilayah adat yang mejangkaui daerah dan kawasan mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.