Takkan kerana menantu Kak Midah serang Abang Mat

Takkan kerana menantu Kak Midah serang Abang Mat

Setiausaha Politik kepada Presiden AMANAH Mohamad Sabu hari ini menangkis dakwaan klip video yang mengaitkan AMANAH sebagai alat DAP oleh bekas pimpinan Bersatu.

Mohd Azhar Mat Dali berkata, beliau menerima klip video temubual Kak Midah (Datuk Hamidah Osman-bekas Naib Presiden Bersatu) yang dihantar seorang rakan melalui Whatsapp yang menyentuh Mohamad dan AMANAH sebagai alat DAP.

Datuk Hamidah Osman

Datuk Hamidah Osman

“Saya ingin menyatakan begini… PRU14 menyaksikan rakyat Malaysia menolak politik perkauman. Rakyat Malaysia yang terbanyak telah keluar beramai-ramai menolak politik perkauman dan adu domba tersebut.

“Untuk kali pertama dalam tempoh 60 tahun, umno dan BN telah dikalahkan. Rakyat pelbagai kaum dan agama dalam negara ini bangun bersama-sama menolak kerajaan kleptokrasi Najib.

“Tun M bersama rakan-rakan pimpinan PH telah bersatu dan berjaya meletakkan asas bersama menumbangkan rejim BN dari terus menjarah khazanah negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azhar lagi, perbicaraan 1MDB dan beberapa kes besar yang lain sedang berlangsung. Rakyat diperlihatkan bagaimana Najib dan rakan-rakannya mencuri dan merompak negara ini dalam skala yang besar.

Katanya mendedahkan wajah sebenar Umno/BN ini mencemaskan banyak pihak.

Justeru itu, usaha-usaha untuk mengalihkan isu dengan membakar negara ini melalui isu perkauman sedang giat dilaksanakan.

“DAP sekali lagi dijadikan “punching bag” bagi menambahkan ketakutan tersebut.

“Mungkin Kak Midah terlupa bahawa beliau juga antara orang yang awal bangun bersama-sama Tun M dan PH mahu menyelamatkan negara dari kleptokrasi Najib dan kuncu-kuncunya?

“Saya mengenali Kak Midah sebagai seorang yang berjiwa besar. Tak kan lah kerana menantu tak dapat berhenti latihan tentera, Kak Midah sanggup menyerang Abang Mat.

“Apapun, selamat maju jaya Kak Midah bersama parti baru. Pentas demokrasi sentiasa terbuka untuk kita sama-sama menawarkan khidmat terbaik,” ujarnya.

Datuk Hamidah Osman yang keluar Umno sebelum PRU14 dan menyertai Bersatu di awal penubuhannya, kemudian dilantik sebagai Naib Presiden Bersatu telah meletakkan jawatannya pada 2018 setelah berlaku krisis dalaman dengan kepimpinan parti itu.

Hamidah dalam temubual tersebut dipetik berkata, di awal penubuhan AMANAH merupakan agenda DAP.

Katanya ketika itu DAP ingin pecahkan Melayu dalam Pas disarankan kepada Mat Sabu ditubuhkan AMANAH.

“Mat Sabu tidak akan mampu menubuhkan sebuah parti jika tidak ada sokongan kewangan yang kuat yang boleh dibantu DAP. Penubuhan AMANAH satu ‘grand design’ DAP untuk menguasai politik negara dengan memastikan Melayu berpecah dan itu juga apa yang berlaku dalam Umno-BN (tertubuhnya Bersatu),” dakwanya dalam video berdurasi 9.29 minit itu.