“Takde kahwin, jangan kacau saya” – Tengku Hassanal

Oleh WAN SITI AMINAH

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menghargai keprihatinan dan minat yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap baginda.

Walau bagaimanapun, Tengku Hassanal memohon agar orang ramai menghormati keputusan dan privasi peribadi terutamanya berkaitan perkahwinan baginda kelak.

Menerusi satu hantaran di platform Instagram, baginda telah bertitah bahawa pilihan hidup yang penting seperti itu harus dibuat dengan teliti dan pada masa yang sesuai.

“Sebagai seorang putera raja dan waris ganti Negeri, saya sangat menghargai keprihatinan dan minat yang ditunjukkan terhadap kehidupan peribadi saya oleh orang ramai.

“Namun, saya memohon agar keputusan dan privasi peribadi mengenai perkahwinan saya pada masa hadapan dapat dihormati. 

“Saya percaya bahawa pilihan hidup yang penting seperti ini harus dibuat dengan teliti dan pada masa yang sesuai bagi saya,” titah baginda dalam hantaran tersebut.

Menghargai sokongan rakyat, Tengku Hassanal dalam hantaran sama turut bertitah bahawa baginda komited mahu berkhidmat kepada Raja dan negeri buat masa ini.

“Buat masa ini, saya komited untuk berkhidmat kepada Raja dan Negeri, dan akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Sokongan anda semua amat saya hargai. Terima kasih,” titah baginda lagi.

Tengku Hassanal turut menafikan khabar angin bahawa baginda bakal berkahwin dalam masa terdekat melalui kenyataan ringkas, ‘No wedding, takde kahwin. Jangan kacau saya’ di Instastory.

Beberapa jam selepas itu, baginda sekali lagi berkongsi kenyataan dengan memberikan cadangan kepada orang ramai untuk berbincang mengenai perkara lain seperti bola sepak atau politik negara.

“Cakaplah mengenai politik Malaysia, bisnes ataupun bola sepak. ‘Live, laugh, love’ (hidup, ketawa, cinta).” Tulis Tengku Hassanal dengan ringkas dalam hantaran di Instastory itu.

Baca juga: Nampak ringkas dan minimalis, tak sangka kek kahwin Sean Lee guna 5kg Strawberi import dari AS