Malaysia Dateline

Takiyuddin akui belum lihat lagi tuntutan sivil keluarga Adib

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengakui belum lagi melihat tuntutan sivil oleh keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurutnya, kerajaan bagaimanapun bersedia meneliti tindakan sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menuntut ganti rugi berhubung tragedi rusuhan kuil yang meragut nyawa anggota bomba itu.

“Pada masa sama, kerajaan juga bersedia meneliti tuntutan sivil difailkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib bagi menuntut ganti rugi mengenai insiden terbabit.

“Saya pun belum melihat lagi tuntutan sivil oleh keluarga Adib tetapi kita boleh bincang bagi mencari jalan penyelesaian,” lapor BH.

Setiausaha Agung Pas itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, setakat ini tiada inkues baharu dibuat seperti jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat sebelum ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, polis akan meneliti kembali hal tersebut untuk diambil tindakan dan beliau difahamkan, Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang laporan hasil siasatan baharu berhubung kes itu.

Katanya, kes tersebut memerlukan penelitian dan pelbagai proses siasatan selepas Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu memutuskan kes kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dapat dikenal pasti.

“Seperti kita maklum, inkues yang dibuat di mahkamah sebelum ini, hakim Mahkamah Koroner membuat ‘verdict’, iaitu puncanya akibat tindakan jenayah oleh beberapa orang tidak diketahui.

“‘Verdict’ menyebabkan pendakwa raya belum dapat mendakwa penjenayah belum dikenal pasti.

“Jadi, tindakan mahkamah tidak dapat dibuat, atas dasar inilah saya difahamkan Peguam Negara meminta polis membuat siasatan lanjut, manakala polis pula mencadangkan inkues baharu,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Hamzah berkata, cadangan lain turut dikemukakan adalah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Mohd Kassim mempersoal siasatan polis yang masih menjurus punca kematian arwah sedangkan sepatutnya mencari siapa pelaku yang menyebabkan kematian anaknya.

Bagaimanapun, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata cadangan mengadakan semula inkues itu hanya membuang masa.

Beliau yang juga pesawah berkata, cadangan itu juga tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam dan akan melengahkan lagi keadilan buat arwah anaknya setelah hampir dua tahun kejadian itu berlaku.

“Kita sudah buang banyak masa dan banyak tenaga membabitkan ramai orang. Mahkamah Koroner membuat keputusan berdasarkan siasatan dan saksi termasuk banyak pakar dipanggil sebelum keputusan dibuat.

“Siasatan polis harus menjurus kepada keputusan Mahkamah Koroner dan perlu menghormati keputusan itu, kenapa mereka tak boleh terima keputusan itu,” katanya kepada media, 5 Ogos lalu.

Allahyarham Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Jenazah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Pada 27 November 2018, Allahyarham yang ketika itu berusia 24 tahun parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding, lebih 100 saksi termasuk beberapa saksi pakar berkaitan kes tragik tersebut dipanggil sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Julai lalu dilapor berkata, dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah ketika kejadian secara konsisten mengatakan tidak nampak siapa yang memukul dan mencederakan arwah.

Katanya lagi, tiada seorang saksi pun yang berada di tempat kejadian yang polis rakamkan keterangan semula nampak Adib ditarik keluar dari EMRS dan dipukul pada hari kejadian.

Pada 14 Disember lalu, Hamzah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat berkata, siasatan polis terhadap penyebab kematian Adib di peringkat akhir dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Mengulas langkah tersebut, Mohd Kassim berkata siasatan seharusnya menjurus untuk mencari penjenayah yang menyebabkan kematian Adib selepas dua tahun kejadian itu berlaku.

“Kenapa masih hendak siasat punca kematian Adib? Ahli keluarga sekarang cuma nak tahu siapa pelaku yang sebabkan kematian anak saya.

“Saya dan isteri sudah lama bersabar demi melihat sendiri wajah pelaku menyebabkan kematian anak kami. Namun, sampai sekarang masih hendak siasat penyebab kematian Adib?

“Bukankah keputusan inkues lalu sudah jelas mengatakan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah,” kata Mohd Kassim kepada media, 15 Disember lalu.

Selepas dua tahun Adib meninggal dunia masih belum diketahui siapa pembunuhnya.