Malaysia Dateline

Takiyuddin Hassan2

Takiyuddin beritahu ada urusan di Kuantan hari ini, esok

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa beliau akan terus berada di Kuantan, Pahang hari ini dan esok bagi menyelesaikan urusannya.

“Saya ada urusan di sini hari ini dan esok. Mereka (polis) juga tidak ada menghubungi saya,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat panitia Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kuantan hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas berhubung arahan dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan pada 23 Mei lalu yang memintanya hadir pada pukul 10 pagi esok untuk diambil keterangan.

Takiyuddin dalam ceramahnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan awal bulan lalu antara lain dilapor mempersoalkan sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi Perdana Menteri berikutan statusnya sebagai ‘bekas banduan’.

Ekoran itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan membuat laporan polis pada 13 Mei lalu menggesa siasatan dijalankan terhadap Takiyuddin kerana didakwa seolah-olah mempertikaikan pengampunan diraja diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.