Malaysia Dateline

Takiyuddin cuba nafi hak kebebasan bersuara Majlis Peguam Malaysia

Kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan merupakan satu percubaan tidak wajar untuk menafikan hak kebebasan bersuara Majlis Peguam Malaysia.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, peguam hanya menyuarakan kebimbangan melalui kritikan serta memfailkan cabaran undang-undang terhadap Proklamasi Darurat.

Bahkan katanya, Takiyuddin tidak seharusnya mendahului mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan media seperti itu kerana Proklamasi Darurat telah difailkan oleh beberapa pihak kini berada di dalam penilaian dan penentuan oleh mahkamah.

“Pihak menteri yang juga pengamal undang-undang seharusnya faham bahawa proses semak dan imbang terhadap kerajaan mesti dipertahankan pada setiap masa agar negara tidak diperintah secara kuku besi yang akan memberikan impak serius kepada kegiatan eknomi, sosial dan kehidupan rakyat jelata.

“Semata-mata berbeza pendapat dan pentafsiran tidak mewajarkan menteri untuk menidakkan hak kebebasan bersuara para pengamal undang-undang untuk memberika pentafsiran mereka terhadap proklamsi darurat dan ordinan darurat ia seharusnya diraikan menteri bukan dikecam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Undang-undang yang menyeru Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang serta menzahirkan dukacita terhadap pihak yang cuba mentafsirkan undang-undang mengikut selera sendiri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, fungsi dan tanggungjawab para pengamal undang-undang mahupun ahli akademik dalam perihal perundangan dan Perlembagaan Malaysia adalah untuk memberi pemahaman, penjelasan mahupun kritikan.

“Ramai peguam, pakar perundangan dan perlembagaan telah menyatakan pandangan dan tafsiran mereka terhadap Proklamasi Darurat ini, apakah keperluan untuk mengisytiharkan darurat untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengambil kesempatan ini untuk “menggantung” Parlimen untuk “menyelamatkan diri” dalam krisis politik?” soal beliau.

Katanya kerajaan tidak berlaku adil kepada rakyat dan menidakkan hak demokrasi yang diamalkan di Malaysia di mana wakil rakyat dipilih oleh pengundi melalui pilihan raya.

“Kalau bukan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, inilah ruang dan tempat yang sepatutnya untuk mendengar suara rakyat.

“Ini jelas menunjukkan betapa rakusnya kerajaan Perikatan Nasional ini semakin angkuh dan langsung tidak memahami kemarahan rakyat sekarang, merasakan berlakunya ketidakadilan dalam penguatkuasaan yang bersifat “antara dua darjat”,” katanya.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia dilaporkan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat, selain supaya perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Tindakan undang-undang itu memohon deklarasi melibatkan beberapa peruntukan berkaitan proklamasi darurat, yang menurut badan itu terlalu luas serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata, tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.