Malaysia Dateline

Takiyuddin dapat sejambak bunga daripada Agong, Permaisuri

“Semoga segera sembuh”.

Itu titipan doa daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ungkapan pada sejambak bunga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tular di media sosial hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu yang selamat menjalani pembedahan jantung itu dilapor menerima hadiah sejambak bunga daripada Istana Negara.

Setiausaha Agung Pas berkenaan yang telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara pada 30 Julai lalu terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.

Kiriman jambangan bunga dari Istana Negara kepada Takiyuddin itu berlaku ketika suasana politik negara berterusan hangat susulan teguran Agong pada 28 Julai lalu berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat yang belum diperkenankan Seri Paduka Baginda.

Ekoran itu, Ahli Parlimen pembangkang dan masyarakat sivil menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Mahiaddin Md Yasin sebagai menderhaka terhadap Agong.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Parlimen, 29 Julai lalu menegaskan rakyat sudah tahu kelompok yang mempertahankan kuasa dalam kerajaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan juga menuntut Mahiaddin dan Takiyuddin meletakkan jawatan kerana ingkar kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengelirukan Dewan Rakyat.

Tindakan kerajaan PN yang bercanggah dengan Perkara 150 (2B) dan (3) Perlembagaan Persekutuan itu juga turut menyaksikan desakan supaya Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan abangnya, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletak jawatan.