Malaysia Dateline

Takiyuddin derhaka: Laporan polis mula dibuat petang ini

Selepas membuat kenyataan seolah-olah mempermainkan kenyataan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja agar Parlimen bersidang secepat mungkin, orang ramai khasnya pemimpin politik mula membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin akan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi petang ini.

“Berhubung dalih dan putar belit Takyuddin berhubung titah YDPA, Pemuda PH akan buat laporan polis di IPD Dang Wangi petang ini.

“Kita gesa agar kebiadaban ini disiasat,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas di Twitter sekejap tadi.

Selain beliau, turut akan membuat laporan polis adalah Pemuda AMANAH di Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Tuanku Yang Dipertuan Agong hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Takiyuddin berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semalam, bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

“Perkataan digunakan dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong adalah ‘persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin’.

“Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.

“Perdana Menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September…sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan,” katanya.

Kenyataan Takiyuddin telah dikecam oleh pelbagai pihak seolah-olah mempermain-mainkan titah baginda.

Bekas Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir Takiyuddin dengan berkata, ini kali kedua baginda bertitah agar Parlimen bersidang.