Malaysia Dateline

Takiyuddin Hassan digesa letak jawatan kerana pertikai hak rakyat

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan digesa untuk meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen selepas mengeluarkan kenyataan memperlekehkan penjawatan tersebut semalam.

Merujuk hal berkenaan, Ahli Jawatan Kuasa Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Azhar Ismail berkata kenyataan Takiyuddin yang menafikan suara rakyat yang memilih beliau adalah suatu yang tidak boleh dimaafkan.

Takiyuddin yang dilihat cuba mencari helah dalam menyatakan pandangan berkenaan desakan pelbagai pihak untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat itu menjelaskan tiada masalah sekiranya dewan itu tidak bersidang.

Azhar dalam kenyataannya memaklumkan terdapat pengisian kata-kata Takiyuddin yang tidak langsung waras kerana penjawatan sebagai ahli parlimen adalah amanah membawa suara rakyat ke dalam Dewan Rakyat.

“Kalau macam tu, tak perlu bersidang lebih baik dia (Takiyuddin) jadi pengerusi masjid atau merebut jawatan di surau dan masjid.

“Dia kena ingat, gaji sebagai ahli parlimen dibayar dan jika tidak mahu sidang Dewan Rakyat diadakan bermakna beliau lebih suka makan gaji buta.

“Inilah wajah ahli parlimen yang tidak bertanggungjawab dalam urusan membawa suara rakyat. Saya menyeru agar semua rakyat baik di Kota Bharu mahu pun di Malaysia untuk tidak mengundi dia kerana sikap tidak bertanggungjawab itu,” tegasnya dalam kenyataan kepada media.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata perjalanan pentadbiran tidak terjejas walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang susulan proklamasi darurat yang masih berkuat kuasa.

Merujuk perkara itu, Takiyuddin membangkitkan darurat yang diisytihar pada 1969 yang berjalan selama dua tahun, sebagai contoh.

“Kalau tahun 1969 dulu, dua tahun Parlimen tidak bersidang pun, tidak ada masalah dalam perjalanan kerajaan.

“Kita baru bersidang pada Disember baru-baru ini ketika luluskan belanjawan, sekarang bulan Mac. Baru empat bulan tak bersidang, jadi tak timbul masalah,” katanya ketika sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi bersama pegawai kerajaan negeri dan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan sejumlah pihak, termasuk parti politik, supaya kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat dalam masa segera.