Malaysia Dateline

Takiyuddin luah rasa hati terhadap ‘insan’ dicintai

Tanpa menyebutkan pihak mana yang dimaksudkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pagi ini meluahkan isi hati terhadap ‘insan’ dicintai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu secara bermadah berkata, setiakawan sejati bukan sampai menegah kawan berkawan memandangkan kawan adalah rezeki persahabatan yang datang.

“Aku mungkin hilang kau kawan yang tak hargaiku, tapi kau hilang aku kawan yang betul-betul percayaimu.

I may have lost someone who didn’t love me, but you lost someone who truly loved you,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan di Twitter.

Kenyataan Takiyuddin itu muncul selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoal pendirian Pas sama ada akan bersama dengan Umno atau sebaliknya.

Asyraf membangkitkan persoalan itu ketika menggulung ucapan perbahasan Pergerakan Sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.

Penegasan itu susulan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jika Umno tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU-15.

Ahli Parlimen Pagoh itu ketika satu program di Muar, Johor menegaskan bahawa tiada halangan sekiranya Umno tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.