Umno perlu yakinkan komponen BN untuk sokong usul Hadi

Umno perlu yakinkan komponen BN untuk sokong usul Hadi

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu sebelum ini telah diberi jaminan bahawa Umno akan menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah yang dibentangkan di parlimen Khamis lalu.

Dengan itu Pas menyerahkan kepada Umno untuk memberi penjelasan kepada parti komponen BN mengenainya, katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

“Jadi saya rasa lebih elok Umno sebagai tonggak dalam BN menjelaskannya, bukan kita.

“Dari segi prosedur usul ini dibawa oleh ahli parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Walaupun daripada Pas, tetapi bukan secara rasmi mewakili Pas.

“Yang membawa usul ini individu. Beliau dikira sebagai ahli bukan kerajaan, bukan Pas yang bawa tetapi kebetulan ahli parlimen itu daripada Pas,” katanya pada sidang media persediaan Muktamar Tahunan PAS ke-62, Kota Bharu hari ini.

Hadi pada Khamis lalu membawa usul RUU persendirian berkenaan selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Ini mendorong tindak balas segera daripada pelbagai parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan SUPP, yang membidas langkah itu.

Usul diluluskan oleh kabinet

Takiyuddin berkata, beliau difahamkan usul pindaan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah itu telah dibawa ke kabinet sebelum diusulkan di Parlimen.

“Saya difahamkan telah diterangkan dan katanya telah diluluskan oleh kabinet. Kalau tidak, tak mungkin seorang menteri kabinet telah membenarkan usul yang terletak di senarai nombor 15 naik ke nombor 1.

“Mesti dengan persetujuan daripada kabinet. Selain daripada itu saya tidak tahu apa yang parti-parti bukan Islam tak faham,” jelasnya.

Tambah anggota Parlimen Kota Bharu itu, pindaan Akta 355 tidak ada kaitan langsung dengan rakyat bukan Islam di negara ini.

“Ia melibatkan Mahkamah Syariah yang hanya terpakai kepada orang Islam, melibatkan akta Mahkamah Syariah dan yang dipinda pula kes jenayah, kalau kes sivil mungkin ada kaitanlah.

“Selain itu saya boleh sebut juga pindaan Akta 355 tidak ada kaitan langsung dengan Enakmen Hudud Kelantan berbanding sebelum ini.

“Kalau tak ada undang-undang hudud Kelantan pun, Akta 355 perlu dipinda. Sebab ia hanya berkaitan dengan Mahkamah Syariah,” jelasnya.

TAGS