Takiyuddin masuk hospital Jumaat lalu, jalani pembedahan jantung

Oleh NASUHA RAHMAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan menjalani pembedahan jantung di sebuah hopital Pusat Perubatan IHEAL, bersebelahan dengan Mid Valley, Kuala Lumpur, lapor Utusan Malaysia.

Setiausaha Agung Pas itu dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dipercayai akibat masalah kesihatan jantung sehingga terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.

“Datuk Seri Takiyuddin jalani angiogram kelmarin selama 3 jam sebab ada tiga tempat yang tersumbat.

“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan dipercayai keluar esok,” kata sumber.

Minggu lalu, Takiyuddin diasak pembangkang berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.

Tambah beliau, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.