Malaysia Dateline

Takiyuddin ‘Menteri Kelabu Asap’, kata tokoh wartawan

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai “Menteri Kelabu Asap” apabila berkata Parlimen tidak boleh bersidang semasa darurat.

“Menteri kelabu asap kata, Parlimen tak boleh bersidang pasal lebih 100 ahli orang tua,” kata Kadir menerusi facebook beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan, dalam pilihan raya umum akan datang hanya calon-calon yang muda sahaja diundi.

“PRU nanti kita undi yang muda-muda saja,” kata Kadir menerusi Facebook beliau.

Takiyuddin berkata sebelum ini, kerajaan menasihatkan Yang Dipertuan Agong bahawa Parlimen tidak boleh bersidang ketika perisytiharan darurat.

“Jadi sekarang ini, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Jadi, itulah keadaan sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Puncanya, kata Takiyuddin, ramai ahli Parlimen yang sudah berumur dan berisiko tinggi.

“Saya nak nyatakan, di Parlimen terdapat seramai 220 ahli (Parlimen). Daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang ahli Parlimen berumur 61 hingga 69 tahun.

“Seramai 19 orang berumur antara 70 hingga 79 tahun, sementara seramai empat orang berumur 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dan kita tak mahu terdedah kepada perkara-perkara ini sebab kita berada di ruang yang tertutup,” ujarnya.