Malaysia Dateline

Takiyuddin nafi akan ganti Sanusi jadi MB Kedah

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menafikan spekulasi yang mengatakan dirinya akan menggantikan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.

“Tak timbul langsung isu tukar MB Kedah tu, secara umumnya Pas berpuas hati dengan performance (prestasi) Sanusi.

“Soal pentadbiran akan diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysiakini yang mengakui pentadbiran kerajaan negeri Kedah ada masalah dan perlu dibaiki.

Terdahulu Malaysia Dateline telah membuat laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu akan menggantikan Sanusi, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.

Spekulasi itu hadir selepas Sanusi dikecam berhubung isu cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah.

Menurut sumber tersebut, kontroversi yang dicetuskan oleh Sanusi tidak berkesudahan sejak dia menjadi menteri besar, seperti isu merobohkan kuil di Kuala Kedah dan dakwaan pembelian kereta Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada).